KETIADAAN Mamat selepas segmen kedua di Mega Spontan 2023 akhirnya terjawab apabila pelawak itu dilaporkan pengsan.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Saluran Astro Ria, Prima dan Warna, Norzeha Mohd Salleh ketika ditemui Gempak pada Jumaat.

Menurut Norzeha, atas nasihat pasukan perubatan, Mamat harus direhatkan daripada menyertai sebarang permainan bagi segmen seterusnya.

“Waktu segmen kedua tiba-tiba team kami memaklumkan yang mamat pengsan. Sebenarnya Mamat daripada awal pembukaan Mega Spontan itu lagi dah rasa macam nak pitam.

“Jadi bila dah rasa lemah, pasukan kami terus membawanya ke belakang pentas dan berehat. Kami juga turut memanggil pasukan medik untuk merawatnya.

“Mamat memaklumkan bahawa dia tidak makan. Perutnya kosong hingga ke malam. Makanan terakhir yang dimakan olehnya adalah ketika waktu tengahari.

“Mamat juga terlalu memberikan fokus untuk membuat persembahan kerana sudah lama tidak membuat kemunculan di atas pentas.

“Jadi apabila tidak makan, perut kosong ditambah pula dengan rasa gementar atas pentas, dia jadi tidak bermaya langsung.

“Pihak medik juga memberi nasihat supaya dia berehat. Untuk tidak mengambil risiko, jadi Mamat tidak dapat muncul di minggu pertama Mega Spontan untuk segmen seterusnya,” jelasnya kepada Gempak.

Dalam pada itu, Norzeha juga turut menasihatkan agar semua bintang yang menyertai Mega Spontan untuk sentiasa menjaga waktu makan.

“Kalau boleh kami ingin memberi nasihat kepada Mamat dan juga bintang-bintang yang menyertai Mega Spontan supaya jaga makan.

“Mega Spontan banyak melakukan aktiviti fizikal, jadi apabila perut kosong khuatir akan memudaratkan diri sendiri,” ujarnya.

Terdahulu, ketiadaan Mamat dalam Majakelat menjadi tanda tanya apabila kumpulan itu meneruskan persembahan dengan hanya tiga anggota lain iaitu Adlin Aman Ramli, Joey Daud dan Sanjna Suri.

Mega Spontan 2023 dihoskan oleh Sherry Alhadad manakala Amir Raja Lawak pula bertindak sebagai pengacara bersama untuk menanyakan soalan-soalan panas kepada setiap kumpulan.

Turut disertakan barisan mentor yang digalas Zizan Razak yang mewakili kerajaan Majakelat, Douglas Lim untuk kerajaan Campak Tak Jauh, Sabri Yunus untuk kerajaan Langkataksuka serta Kamal Adli untuk kerajaan Srivijanda.

Gerak-geri setiap pemain pula akan dinilai oleh Datuk Afdlin Shauki sebagai Game Master.

Afdlin akan menentukan peraturan setiap permainan serta mempunyai kuasa mutlak dalam pemilihan pemenang, hukuman buat kumpulan yang tercorot dan pemberian Immuniti kepada pemain mahu pun kumpulan.

Minggu ini menyaksikan kerajaan Srivijanda berada pada kedudukan pertama manakala Langkatasuka ditempat terakhir.

Jadi disebabkan itu, Langkatasuka terpaksa memasuki Bilik Mega Merenjis bagi menjalani hukuman.

Mega Spontan bersiara secara langsung dari Panggung Percubaan, Universiti Putra Malaysia, Serdang setiap Jumaat, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro Warna (saluran 107). - Gempak