MENGAMALKAN poligami, pelakon popular, Ashraf Muslim bersyukur apabila dikuniakan dua isteri yang sangat memahami sekali gus menjadi penguat hidupnya.

Lebih manis, selebriti berusia 37 tahun ini sempat berkongsi ucapan istimewanya buat kedua-dua isterinya itu sempena sambutan Hari Wanita Sedunia, semalam.

"Mereka adalah wanita yang luar biasa buatku...sentiasa memahami perjalanan hidupku yang berwarna warni ini.

"Penguatku dalam ku susah dan senang. Nasihat dan kata-kata mereka membuatku berfikir untuk menjadi suami yang lebih baik dan lebih bijak.

"Terima kasih ALLAH kerana memberi amanah yang besar kepadaku untuk pastikan mereka dan keturunanku menjadi umat yang dekat dengan-Mu," kongsinya dalam Instagram (IG).

Malah, pelakon drama bersiri Cinta Hati Batu ini turut mendoakan kesejahteraan buat isteri-isterinya itu.

"Setiap dalam solatku tak pernah tertinggal nama-nama ini dalam doaku.

"Semoga ALLAH mengampunkan dosa-dosa mereka dan menjaga mereka seperti mana orang-orang yang beriman sebelum ini. Amin..," tulisnya sambil disusuli #SetiapHariAdalahHariWanita.

Ashraf berkahwin dengan isteri pertamanya, Noor Dayana Lokman pada 30 Ogos 2011 dan kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi pada 7 Julai 2013.

Bintang filem Bukan Cinta Malaikat ini mempunyai tiga cahaya mata bersama kedua-dua isterinya iaitu Sarah Ashraf, 4, Anas Ashraf, 2 dan Adam Ashraf, 2 tahun.