Kumpulan rock heavy metal dari Los Angeles, Metallica mengesahkan akan membuat persembahan di Singapura dalam siri jelajahnya ke Asia pada Ogos ini.

Konsert yang akan berlangsung di Pusat Pameran Changi pada 24 Ogos itu merupakan konsert kedua Metallica di republik itu dalam masa 20 tahun.

Metallica 2

"Tiket-tiket akan mula dijual pada Jumaat, 28 Jun pukul 9 pagi melalui www.sistic.org.sg dan pukul 10 pagi melalui agen-agen tiket," kata kumpulan itu di laman web rasminya pada Khamis.

Singapura adalah destinasi kelima Metallica di Asia tahun ini selepas Tokyo, Osaka, Shanghai dan Seoul. Konsert di Shanghai pada 13 Ogos nanti adalah yang pertama bagi Metallica di China dalam 31 tahun sejarahnya.

Bagaimanapun kenyataan penutup dalam pengumuman itu membayangkan akan ada beberapa destinasi lain yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Metallica

"Kita belum selesai lagi; nantikan pengumuman lanjut," kata pengumuman itu.

Astro AWANI difahamkan ada penganjur yang sedang berusaha untuk membawa Metallica ke Kuala Lumpur dan usaha itu dalam perbincangan akhir.

Media di Indonesia sebelum ini melaporkan ada usaha yang sama untuk menampilkan Metallica di Jakarta pada Oktober ini namun ada kemungkinan ia akan beraksi di Jakarta dalam siri jelajah yang sama pada Ogos nanti.

Ini berdasarkan kepada tempoh seminggu yang belum terisi antara konsert di Seoul pada 18 Ogos dan konsert di Singapura pada 24 Ogos.

10 Ogos: Tokyo
11 Ogos: Osaka
13 Ogos: Shanghai
18 Ogos: Seoul
???? Jakarta
???? Kuala Lumpur

24 Ogos: Singapura

Metallica pada Februari dan Mac lalu mengadakan konsert jelajah di lima bandar di Australia sebelum ke Cape Town dan Johannesburg di Afrika Selatan dan Abu Dhabi pada April.

Filem konsert Metallica dalam versi 3D yang berjudul Through the Never dijadual akan ditayangkan di pawagam IMAX di serata dunia mulai September ini.



Kumpulan muzik heavy metal yang dianggotai oleh James Hetfield, Kirk Hammett, Robert Trujillo dan Lars Ulrich itu merupakan artis keempat terlaris di Amerika Syarikat. Ia telah menerbitkan sembilan album studio yang sehingga ini telah terjual lebih 52 juta unit di Amerika sahaja.

Metallica pada tahun lalu menubuhkan syarikat rakaman sendiri yang diberi nama Blackened Recordings dan telah mendapatkan semula hak penerbitan ke atas semua album studionya.