SHAH ALAM: Bekas pemain dram kumpulan thrash metal tanah air, Tarmizi Mokhtar atau lebih dikenali Miji Cromok meninggal dunia pada Rabu.

Berita mengenai pemergian Allahyarham itu dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook akaun KARL Cromok pada Rabu tengah malam tadi.

"Dengan penuh kesedihan dan rasa kehilangan yang mendalam, kami ingin memberitahu bahawa Tarmizi Mokhtar (Miji Cromok) telah kembali ke rahmatullah pada 6 March 2024 jam 10.40 malam.

"Kami mengundang anda semua untuk turut serta dalam doa dan memberikan sokongan kepada keluarga Almarhum di masa kesedihan ini.

"Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada keluarga untuk menghadapi dugaan ini dengan sabar dan reda," katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Menurut perkongsian terbarunya, jenazah Allahyarham akan dikebumikan pada Khamis di Tanah Perkuburan Islam Lemal, Pasir Mas selepas zohor.

"Jenazah sekarang berada di Kampung Jias, Pasir Mas, Kelantan. Sembahyang jenazah di rumah.

"Kebumi selepas Zohor di Tanah Perkuburan Islam Lemal," ujarnya.

Terdahulu, Karl menerusi siaran di Facebooknya, pernah berkongsikan keadaan Allahyarhan yang menjalani rawatan di hospital akibat kanser hati tahap empat.

Allahyarham dan Karl merupakan antara anggota asal Cromok yang sama-sama menubuhkan kumpulan tersebut pada 1987. - Sinar Harian