Wanita berusia 35 tahun itu merupakan seorang pakar perubatan yang sudah berkhidmat selama lebih 10 tahun.
Namun, Dr Liyana yang berasal dari Kuala Lumpur itu kini terjun ke dunia penyiaran menerusi rancangan sulungnya, My Doctors yang bakal bersiaran pada malam ini.
Jom kenali lebih rapat siapa sebenarnya wanita cantik dan pintar ini.
1) Dr Liyana pernah berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama lebih 10 tahun sebelum mengambil keputusan untuk berhenti dan menyambung pengajian dalam bidang dermatologi.
"Saya rasa kulit kalau dijaga dengan rapi akan sangat memuaskan hati.
"Saya suka melihat perubahan sesuatu perkara secara fizikal misalnya kulit, jadi saya mahu melihat hasil rawatan saya dengan cepat," kata Dr Liyana yang pernah berkecimpung dalam bidang estetik.
2) Merupakan lulusan dari Royal College of Surgeons Ireland (RCSI) dan menyambung pengajian klinikal di Penang Medical School, Pulau Pinang sebelum memulakan kerjaya di Hospital Kuala Lumpur.
3) Pernah berkhidmat di Hospital Serdang dan menjadi pegawai atasan kepada doktor viral, Dr Say Shazril beberapa tahun lalu.
4) Komen Dr Liyana tentang istilah 'beauty with brains'
"Orang selalu cakap kalau cantik mesti tak pandai dan saya akui ada pesakit yang puji, kata mereka saya cantik.
"Tetapi saya lebih suka orang cakap saya pandai.
"Situasi saya sebagai doktor mencabar apabila berdepan dengan pesakit yang lebih berusia daripada saya. Untuk 'break the ice' itu sukar!
"Jadi saya perlu lebih bercakap perkara yang serius dan terperinci untuk buktikan saya tahu kerja saya.
"Tidak mudah sebenarnya apabila orang menghakimi seseorang bahawa kalau cantik mesti tak pandai sangat.
"Tetapi apabila ada yang labelkan saya 'beauty with brains' itu satu pujian!" katanya.
5) Baru berjinak-jinak dengan media sosial. Baru-baru ini juga Dr Liyana teruja apabila hos rancangan The Doctors Amerika Syarikat Dr. Sonia Batra menjadi pengikutnya di Twitter.
6) Dikatakan raut wajah dan cara percakapan persis Neelofa.
"Neelofa adalah salah seorang pesakit di klinik ibu saya dan secara tidak langsung dia juga pesakit saya. Ya, saya akui kami juga rapat," tambah Dr Liyana.
7) Dr Liyana bakal mengacarakan rancangan baharu My Doctors yang akan bersiaran pada malam ini (19 Februari) pukul 11 malam di saluran Astro Ria dan Ria HD.
Selain Dr Liyana, rancangan 52 episod itu akan disertai oleh beberapa panel dalam kalangan pakar dan pegawai perubatan antaranya Dr Faruqi Uzair, Dr Zainal Adwin (Pakar Bedah), Dr Rizal Rahman (Pakar Estetik), Dr Beni Rusani (Pakar Kardiologi), Dr Eliza Mohd Noor (Pakar Obstetrik & Ginekologi) dan Dr Say Shazril.
Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: IG Dr Liyana