PELAKON Pekin Ibrahim mengakui bukan mudah untuk berlakon bersama enam pelakon cilik yang baru menceburi dunia lakonan menerusi filem terbaharunya berjudul Gemencheh Boys yang bakal ditayangkan Oktober ini.

Suami kepada aktres Mona Allen ini, bagaimanapun memuji bakat semula jadi enam pelakon baharu itu yang turut banyak membantunya dalam filem tersebut.

“Susah, bakat mereka ‘raw’ dan semula jadi. Tapi disebabkan mereka senang nak masuk, mereka pun banyak cakap dialek Nogori jadi itu membantu saya juga nak berlakon dengan mereka,” katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, Pekin mengakui dia jatuh cinta dengan skrip yang diberikan oleh pengarah Jason Chong, lantas bersetuju untuk menjayakan watak sebagai Cikgu Azman.

“Masa dapat skrip dari Jason, saya baca dulu dan selepas baca saya suka gila sebab sebagai pelakon di Malaysia ini nak dapat skrip yang mencabar lakonan kita agak susah.

“Bila saya baca skrip saya dapati watak saya sebagai cikgu agak mencabar dan saya betul-betul ambil masa untuk mendalami watak itu,” katanya.

Berpengalaman beraksi di layar perak tidak memberi kelebihan kepada Pekin untuk menjiwai watak sebagai Cikgu Azman dalam filem tersebut.

Bukan sahaja melantik guru lakonan, Pekin juga sanggup menjadi ‘stalker’ kepada Cikgu Azman yang sebenar dengan mengikuti segala gerak-geri pendidik itu.

Sebuah adaptasi daripada peristiwa sebenar, Gemencheh Boys menampilkan kisah inspirasi sekumpulan budak kampung yang berjaya menempa sejarah dalam dunia sukan antarabangsa.

Filem ini diceritakan dari kaca mata atlet kriket kebangsaan, Shafiq Sharif yang mewakili Malaysia untuk Piala Dunia Kriket pada 2019 serta berjaya merangkul pingat emas di Sukan SEA 2017.

Gemencheh Boys memaparkan kisah kanak-kanak dari kampung yang digelar sebagai ‘Enam Jahanam’ yang terkenal dengan sifat nakal, bagaimanapun karakter mereka berubah apabila seorang guru memperkenalkan permainan kriket.

Menampilkan tema persahabatan, pengorbanan dan harapan, perjalanan pelajar-pelajar ini bersama gurunya menuju ke gelanggang dunia diceritakan dalam pelbagai emosi.

Filem arahan pemenang Cerita Asal Terbaik di Festival Filem Malaysia 2017 iaitu pengarah Jason Chong bersama Eric Ong membabitkan studio penerbitan terkemuka, Astro Shaw dengan kerjasama GV Corporate Advisory dan SOL Pictures itu bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 26 Oktober.

Filem ini membariskan pelakon hebat Pekin Ibrahim serta enam pelakon kanak-kanak yang dipilih melalui sesi uji bakat iaitu Aqil Yaya, Syed Ahmad, Ayiet Harith, Kimi Norais, Izzue Deen dan Amir Kuziq sebagai tunggak utama.

Turut membintangi filem ini Dato’ Ahmad Tamimi Siregar, Zaidi Omar, Farah Ahmad, Azman Hassan, Kamal, Rezuan, Ieda Moin, Arumugam A/L Vedan dan ramai lagi. -Gempak