BUKAN membawa diri sebaliknya mencari peluang dan kehidupan baru luar dari kota metropolitan.

Ada kisahnya penyanyi kumpulan Arrow, Renggo atau nama sebenarnya Mohd Zain Ramli, 51 tahun bertapak di Kampung Sungai Petai di Pasir Puteh, Kelantan sejak lebih sebulan lalu.

Renggo ketika ditemui Astro Awani menjelaskan, beliau sebenarnya ingin mencari tapak perniagaan baru luar Kuala Lumpur selepas menyedari perniagaan kedai makan dan roti canainya di Kepong terkesan kerana persaingan perniagaan.

Dalam mengintai peluang perniagaan di Pantai Timur, Renggo pada mulanya memilih Terengganu untuk bertapak.

"Saya duda ketika itu ... dapat seorang wanita yang sudi nak bersuamikan saya di Terengganu, katanya mahu duduk Terengganu bersama wanita itu, takdir Allah tak jadi nikah, batal nikah tak ada jodoh" katanya ketika ditemu bual di Astro Awani, baru-baru ini. 

"Tak jadi nikah saya buat keputusan pindah ke sini Pasir Puteh, tengok kedai di Sungai Petai ini sesuai, selepas bincang dengan bapa saudara di sini, saya buat keputusan bertapak di sini" kata vokalis Arrow, kumpulan yang sinonim dengan lagu, Aku Tak Marah itu.


Arrow

Selepas mengambil bahagian dalam program realiti Kilauan Emas 4 terbitan Astro tidak lama dahulu, Renggo mengambil keputusan membuka keda makan dan roti canai di Puchong, namun kini perniagan kedai makan di Puchong diserahkan kepada kawannya juga seorang artis dari kumpulan CRK untuk diteruskan.

Pilihannya bertapak di Sungai Petai dirasakan tepat, apatah lagi kehidupan di sini aman, tenang dan mempunyai ruang masa.

" Di Kelantan ini tanah dia sejuk, tak berapa bimbang dalam soal sosial anak anak, bahkan beliau menyasarkan untuk berada di kampung kerana bukan sasarannya untuk capai sesuatu yang luar kemampuannya" katanya. 

TIDAK PERNAH PUTUS ASA

Namun, Renggo tidak menyangka jualan hasil air tangannya menebar roti canai lumayan bahkan roti canainya kini laris dijual sekitar 200-250 keping sehari.

"Tak sangka buka kedai si kawasan kampung, sambutan dia luar jangka, orang datang tak putus putus dari serata Kelantan, saya bermula seratus keping sekarang dan nak cecah 300 keping roti canai" tambahnya.

KARIER MUZIK TIDAK DIABAIKAN

Bercakap mengenai bidang nyanyian, Renggo berkata, kerja sebagai penyanyi tidak terhenti sebaliknya beliau  meneruskan minatnya itu.

Baru-baru ini, Renggo telah melancarkan single album terbaharu berjudul Kekasih Syurgawi yang sudah mula berkumandang di saluran YouTube.

"Lagu ini saya buat khas untuk semua wanita, tidak kira kategori apa, janda ke, ibu ke, dara ke, lagu ini sudah mula mula bermainndi corong radio" katanya

Beliau turut menerima undangan menyanyi namun disebabkan PKP, undangan nyanyian jarang diterima.