USAHAWAN dan juga kakak kepada selebriti terkenal, Neelofa, Noor Nabila menangkis dakwaan netizen yang menyangka rumah tangganya bermasalah hanya disebabkan jarang berkongsi foto bersama suami di media sosial.

Menurut Nabila, suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin lebih selesa memilih untuk mengekalkan kehidupan mereka secara privasi.

“Dia macam ini bila anda dapat suami yang suka berkongsi, anda juga akan jadi sama naik. Tapi suami saya memang sejenis privasi orangnya dan tidak suka sangat berkongsi.

“Dia rasa lebih selesa untuk tidak berkongsi. Saya dan dia sama. Kita pun dah melalui perkahwinan ketiga jadi kita lebih berhati-hati sedikitlah.

“Tapi itu tidak bermakna retak atau apa, kita percaya sahajalah seperti orang kata jodoh, ajal, maut ini semuanya di tangan Tuhan.

“Begitu juga dengan perkahwinan. Selagi ada jodoh saya dengan suami, selagi itulah. Tak payahlah orang nak cuba teka atau assume.

“Selagi ada jodoh kita akan teruskan sebab setiap perkahwinan pun ada cabaranya,” jelasnya.
Nabila ditemui di Majlis Kucate Gold Rally Winner Celebration yang bertempat di [email protected] Damansara, pada Rabu.

Mengulas mengenai kehidupan peribadinya yang sering menjadi perhatian netizen, Nabila menganggap perkara itu lumrah kehidupan sebagai keluarga selebriti.

“Saya pun tak tahulah, saya rasa macam kadang-kadang tak selesa tetapi sebab kita pun… macam Lofa artis kan, selepas itu terpalit Sharnaaz, artis juga, anak saya.

“Saya rasa saya respek yang orang mungkin nak tahu, curious, macam itulah lebih kurang. Tapi tak adalah saya kena… maksudnya jika saya pilih untuk tidak berkongsi mungkin mereka pun kena hormat sekali.

“Tak adalah dia (suami) tak banyak komen, tak banyak cakap. Dia macam itu sahaja jadi bila orang komen pun dia tak ada perasaan.

“Mungkin dia tak baca komen kot, saya baca tapi bukanlah sebab dah biasa, cuma saya rasa kita dulu-dulu dah kena macam-macam.

“Jadi sekarang saya rasa macam numb, tak rasa apa-apa. Melainkan kalau saya kenal awak, awak bercakap, terasalah. Tetapi kalau netizen tu tak rasalah,” ujarnya.

Terdahulu, Nabila dan Engku Emran mendirikan rumah tangga pada 19 Mac 2021.

Untuk rekod, Nabila pernah mendirikan rumah tangga bersama Sharnaaz pada 31 Mac 2017 dan bercerai secara hakam pada 9 Julai 2020 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki Jebat Jayden yang kini berusia empat tahun.

Sementara itu, Engku Emran pula pernah mendirikan rumah tangga bersama Erra Fazira pada 25 Oktober 2007 dan berpisah pada 18 Februari 2014.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya yang kini berumur 13 tahun.

Kemudian pada 8 September 2017 dia sekali lagi mendirikan rumah tangga bersama aktres Indonesia, Laudya Cynthia Bella kemudian bercerai sekitar bulan Jun 2020.

Perkahwinan kedua Emran bagaimanapun tidak dikurniakan cahaya mata.

* Artikel asal di Gempak