Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji pementasan OlaBola Musical dan menyifatkan ia hampir setaraf dengan pementasan antarabangsa, Hamilton The Musical.

Hal itu diluahkan Anwar selepas meluangkan masa menonton teater muzikal arahan Puan Sri Tiara Jacquelina di Istana Budaya pada malam pembukaannya, pada Isnin.

"Secara kebetulan, minggu lalu saya berkesempatan menonton teater Hamilton. Saya bangga kerana kita di Malaysia mampu menghasilkan satu pementasan yang tidak kurang hebatnya," kata Anwar.

Anwar yang tidak berkesempatan menyaksikan musim pertama OlaBola Musical tahun lalu, menganggap elemen patriotisma dalam teater itu sesuatu yang perlu dinikmati oleh rakyat Malaysia.

"Ia memaparkan perpaduan, satu peringatan tentang masa lalu kita yang gemilang dan sebagai rakyat Malaysia, kita perlu sentiasa diingatkan tentang perkara itu," tambah beliau.

Dalam reaksi balasnya, Tiara cukup terharu dan menyifatkan pujian daripada Ahli Parlimen Port Dickson itu sebagai satu pemangkin semangat untuk pasukannya terus memberikan persembahan terbaik.

OlaBola Musical sedang dipentaskan di Istana Budaya sehingga 3 Mac ini.