PEMILIK Toyota GR Yaris Kansai yang dikenali sebagai Asnina Muhammad mendedahkan pelakon Pekin Ibrahim bukan pemilik sebenar kenderaan terbabit yang mengalami kemalangan sehingga menyebabkan kereta itu remuk teruk (total loss), baru-baru ini.

Menurut Asnina, dia adalah pemilik sebenar dan Pekin atau nama sebenarnya, Mohd. Iznan Ibrahim hanya bertindak selaku duta yang mempromosi syarikat D One Motorsports Sdn. Bhd.

“Saya adalah pengarah syarikat D One Motorsports dan merupakan pemilik kenderaan itu.

“Tiada sebarang pembayaran wang tempahan dan juga tiada sebarang pembayaran deposit daripada Pekin.

“Tiada sebarang dokumen yang diberikan olehnya untuk urusan pinjaman bank bagi pembelian kereta,” kata Asnina.

Kenyataan itu dibuat Asnina dalam satu kenyataan rasmi dalam Instagram.

Menerusi hantaran yang sama, Asnina turut menyertakan geran kenderaan sebagai bukti kereta terbabit adalah miliknya.

Katanya, Pekin hanya menunjukkan minat untuk memberi kenderaan itu sahaja.

“Segala kos daripada proses pembelian kenderaan, servis di Kansai Service dan pembiayaan duta ke Jepun ditanggung oleh pihak kami,” katanya lagi.

Terdahulu, kereta itu dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Putra Height, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Dalam kejadian itu, kereta dipandu oleh rakan Pekin bernama Amirul dan turut dinaiki oleh dua rakan dikenali sebagai abang Arif dan Faiz namun tiada sebarang kehilangan nyawa direkodkan.

Ia difahamkan kereta terbabit yang dibuat khas untuk Pekin turut mendapat sentuhan istimewa oleh pemilik Kansai Service di Jepun dan baru sahaja tiba di Malaysia seminggu yang lalu. -- Gempak