Pelakon legenda Hollywood, Diane Keaton meninggal dunia pada usia 79 tahun

Industri perfileman Hollywood kehilangan Diane Keaton - seorang seniwati masyhur yang meninggal dunia pada usia 79 tahun pada Sabtu. - Gambar fail AP
CALIFORNIA: Pelakon dan juga pemenang Oscar, Diane Keaton, dilaporkan meninggal dunia pada usia 79 tahun, pada Sabtu menurut laporan media Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, punca kematiannya masih belum didedahkan setakat ini.
Keaton yang dilahirkan di Los Angeles, mula meraih populariti pada era 1970-an menerusi watak ikonik Kay Adams-Corleone dalam siri filem The Godfather.
Sepanjang lebih lima dekad bergiat dalam industri perfileman Hollywood, beliau turut dikenali menerusi lakonannya dalam Father of the Bride, First Wives Club dan Annie Hall - yang melayakkan beliau merangkul Anugerah Akademi (Oscar) bagi Pelakon Wanita Terbaik pada 1978.Mendiang juga terkenal sebagai seniwati yang sentiasa tampil dengan penampilan unik,
Kematian Keaton di California disahkan keluarganya kepada majalah People, sementara The New York Times turut melaporkan perkara sama menerusi sumber terdekat keluarga.
Rakan seangkatannya, pelakon dan penyanyi Bette Midler, yang pernah bergandingan dengannya dalam First Wives Club, menzahirkan rasa sedih di Instagram:
“Diane Keaton yang hebat, luar biasa dan penuh pesona telah pergi. Saya tidak dapat gambarkan betapa sedihnya saya.
“Beliau lucu, asli dan tidak pernah berpura-pura - tiada persaingan, tiada kepura-puraan. Apa yang anda lihat, itulah dirinya.”
Sementara itu, pelakon Ben Stiller turut memuat naik penghormatan di platform X:
“Diane Keaton. Salah seorang pelakon filem terhebat sepanjang zaman. Ikon gaya, humor dan komedi. Cemerlang. Sungguh insan luar biasa.”
Sepanjang kerjayanya, Keaton pernah menerima tiga lagi pencalonan Oscar bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Something’s Gotta Give, Marvin’s Room dan Reds.
Beliau yang tidak pernah berkahwin meninggalkan dua anak angkat - seorang anak perempuan, Dexter, dan seorang anak lelaki, Duke yang diambilnya ketika berusia dalam lingkungan 50-an. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami