HUBUNGAN antara Dunia Melayu dengan Kemboja bukan sekadar kisah hubungan geografi atau diplomatik antara dua wilayah di Asia Tenggara sebaliknya melangkaui hal penghijrahan, penyebaran Islam, jaringan perdagangan, perkembangan bahasa, tradisi intelektual serta warisan budaya yang terbentuk sejak berabad-abad lalu.
Sebahagian daripada sejarah ini masih tersimpan dalam manuskrip, tradisi lisan, kesusasteraan dan amalan kehidupan masyarakat yang wajar diterokai serta diketengahkan kepada generasi baharu.
Bertitik-tolak daripada kesedaran terhadap kepentingan sejarah dan warisan bersama ini, Yayasan Karyawan akan menganjurkan Simposium Dunia Melayu–Kemboja: Sejarah, Budaya dan Pemikiran pada 28 – 29 November 2026 di Royal Academy of Cambodia, Phnom Penh, Kemboja.
Antara lain, simposium ini bertujuan mempertemukan sarjana, penyelidik, penulis dan institusi dari rantau ini bagi membincangkan hubungan Dunia Melayu–Kemboja secara lebih tersusun, mendalam dan berasaskan penyelidikan ilmiah.
Penganjuran simposium ini juga membawa makna yang lebih besar daripada sebuah pertemuan akademik.
Ia merupakan usaha membina jambatan ilmu dan kebudayaan antara masyarakat yang mempunyai hubungan sejarah, tetapi belum sepenuhnya diterokai dalam wacana akademik arus perdana.
Hubungan masyarakat Melayu dengan masyarakat Cam di Kemboja, misalnya, memperlihatkan jaringan sejarah yang melangkaui sempadan negara moden. Hubungan ini dapat ditelusuri melalui agama, bahasa, kesusasteraan, manuskrip, makam lama dan tradisi masyarakat.
Kehadiran para sarjana daripada pelbagai bidang memberikan peluang untuk melihat hubungan Dunia Melayu–Kemboja daripada sudut yang berbeza. Antara persoalan yang akan dibincangkan termasuk masa depan kebudayaan Dunia Melayu–Kemboja dalam era globalisasi dan pendigitalan, pemilikan ilmu ASEAN dalam perkembangan kecerdasan buatan, pengamalan undang-undang Islam dalam kalangan masyarakat Islam Kemboja serta cabaran pemeliharaan manuskrip Cam di Vietnam dan Kemboja.
Ucapan utama pada simposium ini bertajuk Malay World–Cambodia Relations: History, Heritage, and Future oleh Nos Sles, Timbalan Menteri Pendidikan Kemboja.
Aspek sejarah dan hubungan keagamaan turut mendapat perhatian. Beberapa kertas kerja akan menelusuri penyebutan Champa dalam karya Arab silam, jaringan sejarah Islam antara Campa, Kemboja dan Kelantan, perkembangan ulama Kemboja serta pemerkasaan bahasa Arab dan pendidikan Islam dalam kalangan masyarakat Melayu-Champa. Penelitian terhadap batu bersurat dan budaya material pengebumian Islam pula membuka ruang untuk memahami hubungan Dunia Melayu dengan Champa melalui bukti sejarah yang bersifat fizikal.
Selain itu, simposium ini tidak mengabaikan dimensi kesusasteraan dan warisan tidak ketara. Kertas kerja tentang cerita rakyat dan legenda asal usul kerajaan Campa, tradisi kesusasteraan Melayu-Kemboja, kearifan tempatan dalam cerpen Melayu serta hubungan Cham-Kelantan melalui teks sastera memperlihatkan bahawa sejarah sesuatu masyarakat bukan hanya dirakam melalui dokumen rasmi. Cerita, puisi, karya kreatif dan ingatan kolektif juga merupakan sumber penting untuk memahami perjalanan sesebuah peradaban.
Kepelbagaian tajuk pembentangan ini selaras dengan enam subtema yang ditetapkan, iaitu sejarah dan peradaban Dunia Melayu–Kemboja; manuskrip, filologi dan karya klasik; bahasa, kesusasteraan dan tradisi intelektual; budaya, warisan dan kesenian; penerbitan, penterjemahan dan pendigitalan ilmu; serta kerjasama akademik dan pembangunan kapasiti ASEAN. Sebanyak 19 kertas kerja penuh akan dibentangkan yang menunjukkan sambutan ilmiah yang menggalakkan terhadap usaha mengangkat hubungan sejarah dan kebudayaan kedua-dua wilayah.
Satu perkara yang menarik ialah simposium ini turut memberi perhatian kepada peranan penerbitan dalam mengembangkan ilmu. Penyelidikan tentang manuskrip, sejarah dan warisan tidak seharusnya terhenti di bilik seminar atau tersimpan dalam bentuk kertas kerja akademik.
Hasil penyelidikan perlu diterbitkan, diterjemahkan dan disebarluaskan supaya dapat dimanfaatkan oleh masyarakat, institusi pendidikan serta generasi akan datang. Dalam konteks inilah Yayasan Karyawan melihat penerbitan sebagai sebahagian daripada usaha memelihara dan menghidupkan warisan intelektual Dunia Melayu.
Sehubungan itu, program simposium turut merangkumi pelancaran buku. Langkah ini penting kerana penerbitan menjadi jambatan antara penyelidikan dengan pembaca. Sesuatu penemuan sejarah hanya akan memberikan kesan lebih luas apabila hasilnya dapat dicapai, dibaca, dibahaskan dan dijadikan rujukan oleh masyarakat.
Program lawatan budaya ke Kampong Cham juga merupakan komponen penting dalam penganjuran ini. Lawatan tersebut memberi peluang kepada peserta untuk mendekati persekitaran masyarakat dan warisan Melayu-Cam secara lebih langsung. Pengalaman di lapangan dapat melengkapi perbincangan akademik, khususnya dalam memahami bagaimana identiti, tradisi dan ingatan sejarah terus dipelihara dalam kehidupan masyarakat.
Bagi Yayasan Karyawan, penganjuran simposium ini turut mempunyai hubungan dengan misi memperkukuh penerbitan karya agung dan warisan intelektual Dunia Melayu. Dalam tempoh tiga dekad penubuhannya, Yayasan Karyawan telah memberikan tumpuan kepada usaha menerbitkan karya klasik, memperkenalkan khazanah persuratan Melayu dan memperluas akses masyarakat kepada warisan ilmu. Kertas kerja bertajuk Dari Naskhah ke Peradaban: Tiga Dekad Penerbitan Karya Agung Yayasan Karyawan 1996–2026 yang turut dibentangkan dalam simposium ini akan mengetengahkan perjalanan tersebut.
Faktanya, sejarah tidak seharusnya dilihat sebagai catatan masa lampau yang terpisah daripada kehidupan hari ini. Sejarah membantu masyarakat memahami asal usul, mengenali hubungan antara satu sama lain dan membina keyakinan terhadap identiti serta warisan bersama. Dalam dunia yang semakin dipengaruhi teknologi dan perubahan geopolitik, usaha mendokumentasikan, mengkaji dan menyebarkan khazanah sejarah menjadi semakin penting.
Simposium Dunia Melayu–Kemboja diharapkan menjadi titik permulaan kepada kerjasama penyelidikan dan penerbitan yang lebih berterusan antara institusi di Malaysia, Kemboja dan negara-negara ASEAN.
Hubungan akademik tidak seharusnya berakhir sebaik sahaja simposium ditutup. Sebaliknya, pertemuan ini perlu melahirkan penyelidikan bersama, pertukaran sarjana, penerbitan dwibahasa, penterjemahan manuskrip serta program pembangunan kepakaran.
Akhirnya, kita perlu menyedari bahawa warisan bersama hanya akan terus hidup apabila ada usaha untuk mengkajinya, menerbitkannya dan mewariskannya. Sesebuah peradaban tidak dibina oleh generasi yang hanya berbangga dengan sejarah, tetapi oleh generasi yang berusaha memahami sejarah dan menjadikannya sumber kekuatan untuk masa depan.
* Penulis merupakan Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.