HONG KONG: Pelakon dan pelawak veteran Hong Kong, Richard Ng Yiu Hon dilaporkan meninggal dunia, pada Ahad.

Memetik DimSum Daily, Ng meninggal dunia selepas berdepan dengan pelbagai penyakit berkaitan usia.

Dikenali dengan peranan komedinya pada tahun 80-an dan 90-an, pemergian lelaki berusia 83 tahun itu juga disahkan oleh ahli keluarganya.

Richard Woo atau Richard Ng mempunyai kerjaya berjaya dalam industri filem dan televisyen serta pernah muncul dalam lebih 80 buah filem.

Beliau dinominasikan untuk Anugerah Pelakon Terbaik di Anugerah Filem Hong Kong sebanyak dua kali menerusi lakonannya dalam Winners and Sinners sebelum menjayakan drama bersiri Lucky Stars dan Beyond the Sunset.

Ng juga pernah bekerja bersama beberapa nama terbesar dalam filem-filem Hong Kong termasuk Datuk Jackie Chan, Tan Sri Michelle Yeoh, Andy Lau dan Jet Li.

Nama Ng melonjak selepas membawa watak penting pada tahun 1983 sebagai 'Exhaust Pipe' dalam filem Winners and Sinners arahan Sammo Hung.

Beliau juga dikenali dengan peranannya dalam filem komedi Pom Pom, siri filem komedi Lucky Stars bersama rakan Lucky Star dan John Shum.

Ng meninggalkan seorang isteri Susan dan empat orang anak iaitu Alex, Zoe, Louise dan Carl.