PELAKON Bollywood, Veena Kapoor yang sebelum ini dilaporkan meninggal dunia akibat dibunuh oleh anaknya kerana harta rupanya masih hidup.

Disebabkan itu juga, Veena tampil ke hadapan menjelaskan perkara yang berlalu itu sebenarnya hanya salah faham.

Tidak menunggu lama, pelakon vateran ini juga turut memfailkan aduan kepada polis mengenai laporan palsu yang menyebabkan dirinya menjadi tular.

Semasa memfailkan laporan, Veena hadir ditemani anak lelaki yang tinggal bersamanya.

BACA: Pelakon veteran dibunuh anak sendiri kerana harta

Dalam kenyataan itu, Veena memaklumkan wanita terbunuh itu adalah orang lain walaupun memiliki nama yang sama sepertinya.

"Ini adalah berita palsu. Sebenarnya ada Veena Kapoor dan dia telah dibunuh. Tetapi saya bukanlah Veena Kapoor yang dimaksudkan itu.

“Saya adalah orang yang berbeza, nama sahaja sama tetapi saya tinggal di Goregaon bukan Juhu. Saya juga menetap bersama anak saya jadi itulah sebabnya orang menyangka bahawa ini adalah Veena Kapoor.

“Saya ingin memberitahu bahawa saya masih hidup, baik dan tidak mati. Jangan percaya berita palsu,” jelasnya.

Tambah Veena lagi, disebabkan berita palsu itu juga membuatkan dia tidak dapat fokus dan mengganggu kerjanya.

“Jika kami tidak membuat aduan sekarang maka perkara yang sama akan berulang dengan orang lain juga.

“Seksaan mental yang berlaku, dikacau dengan panggilan berulang siang dan malam, walaupun semasa saya menjalani penggambaran.

“Perkara itu merosakkan mood dan saya juga tidak dapat memberikan fokus sepenuhnya ketika waktu bekerja,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Veena telah dibunuh oleh anak lelakinya sendiri.

Menurut laporan Zee News, mendiang yang berusia 74 tahun itu dibunuh dalam satu pergaduhan yang melibatkan harta.

Veena dipercayai dipukul dengan teruk menggunakan kayu besbol, selepas bergaduh dengan anak lelakinya yang sebelum ini menetap di Amerika Syarikat (AS).

Pihak berkuasa memaklumkan, anak lelakinya mengaku membunuh ibunya hanya disebabkan perselisihan faham membabitkan hartanah bernilai RM6.4 juta. -- Gempak

Sumber: Hindustan Times