Reputasi Beyonce pernah tercalar akibat tidak menyanyi secara langsung pada majlis meraikan pelantikan semula Presiden Barack Obama.

Bagaimanapun, imej itu dipulihkan semula selepas menampilkan persembahan hebat semasa waktu rehat "Super Bowl".

"Silenced Her Doubters" antara kata-kata yang diungkapkan New York Times.

Kolumnis, Jon Caramanica menggambarkan Beyonce mengimbangi populariti dengan rendah diri dan melawan keangkuhan dengan kelembutan.

Penyanyi itu disifatkan menjawab pandangan skeptikal peminat dalam diam tetapi dengan kaedah yang berkesan.

Portal muzik Billboard pula menyatakan tempoh 14 minit Beyonce di pentas Super Bowl merupakan persembahan masa rehat terbaik pernah ditampilkan sepanjang zaman.

Pembentukan bayang seperti imej adiwira "Cat Women" pula sesuatu yang diluar jangkaan.

Bagi The Washington Post ia merupakan persembahan paling seksi sejak 2004 selepas kesilapan kostum yang melibatkan Janet Jackson.

Peristiwa tersebut membuatkan penganjur lebih berhati-hati termasuk memilih artis rock yang lebih selamat dari segi etika pemakaian.

Pentas dibarisi persembahan Sir Paul McCartney, The Rolling Stones, Bruce Springsteen, The Who dan Madonna selepas insiden itu berlaku.

New York Daily News pula menyatakan ia merupakan persembahan secara langsung yang paling hebat oleh penyanyi berusia 31 tahun itu.

Dengan pesona dan bakat yang dimiliki portal berita itu turut menyindir pihak yang meragui kebolehan Beyonce melakukan persembahan tersebut.