Penyanyi dan pelakon filem melayu era hitam putih, Kartina Dahari, 72 meninggal dunia setelah menderita penyakit barah payudara semenjak tahun 2010.

Lapor Stesen TV Singapura, Suria, seniwati yang popular pada tahun 60-an ini telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 6 petang tadi di rumahnya di Braddel, Singapura.

Allahyarhamah meninggalkan tiga orang anak dan tiga orang cucu.

Terkenal dengan jolokan ‘Ratu Keroncong’, Allahyarhamah juga merupakan penyanyi Melayu pertama yang merakamkan album berbahasa Inggeris di Singapura.

Antara lagu keroncongnya yang ‘evergreen’ adalah Sayang Di Sayang dan lagu duetnya bersama Allahyarham Datuk Ahmad Jais seperti Budi Setahun Jagung dan Sejak Kita Berpisah.

Sahabat baik dan rakan seperjuangan Allahyarhamah, Datin Paduka Julie Sudiro baru sahaja pulang dari melawat Allahyarhamah di Singapura pagi tadi, jelas tidak dapat menahan sebak ketika menerima berita pemergian Kartina.

“Memang kehilangannya adalah satu kehilangan yang besar buat saya, lebih-lebih lagi saya baru pulang pagi tadi dari menjenguk beliau di sana dan keadaan beliau sangat lemah, namun saya redha dengan ketentuan Ilahi.

“Kartina ketika hayatnya adalah seorang yang ceria namun tegas ketika bekerja dan persahabatan kami sudah macam adik beradik” kata Julie ketika dihubungi Astro AWANI.

Kartina Dahari
Kenangan Datin Paduka Julie Sudiro (kanan) bersama Allahyarhamah Kartina Dahari (kiri)


Julie turut bercerita mengenai sikap Allahyarhamah yang suka menegur dan tidak lokek ilmu mengajar ketika mereka membuat latihan menyanyi bersama.

Selain itu, Julie juga berkongsi beberapa kenangan manis di antara mereka berdua.

“Kenangan paling manis antara kami adalah ketika secara tak sengaja bertembung di hadapan Kaabah ketika menunaikan Umrah pada tahun 90an.

“Saya masih ingat lagi ketika itu, kami menangis dan berpelukan. Kini itu semua adalah kenangan,” katanya tidak dapat menahan tangis.

Julie dan Kartina pernah merakamkan lagu bersama bertajuk Burong Nuri.

Tahun lalu, Esplaned Singapore telah menganjurkan sebuah konsert tribute buat Kartina Dahari.