HIBURAN
Penyertaan Bakat Muda Sezaman ke-29 dibuka sehingga 7 Oktober

Balai Seni Negara memaklumkan penyertaan adalah percuma dan tarikh tutup pada 5 petang, 7 Okt, manakala pengumuman peserta terpilih dijadualkan pada 14 Okt ini. - Gambar Facebook Balai Seni Negara
KUALA LUMPUR: Penyertaan bagi pertandingan seni visual berprestij Bakat Muda Sezaman edisi ke-29 (BMS29), kini dibuka kepada seniman muda Malaysia berusia 18 hingga 35 tahun.
Balai Seni Negara dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, kali ini pertandingan yang menjadi platform penting mengetengahkan bakat baharu seni visual tempatan sejak 1974 itu memperkenalkan pendekatan 'Lokasi Spesifik', dengan Langkawi dipilih sebagai latar utama pengkaryaan.
"Peserta berpeluang mencipta karya yang berakar pada sejarah, budaya, ekologi serta kisah rakyat setempat. Penyertaan dibuka secara percuma kepada warganegara Malaysia dan pemastautin tetap berumur antara 18 hingga 35 tahun pada tahun ini," menurut kenyataan itu.
Lima kelompok lokasi cadangan telah ditetapkan iaitu Kelompok A (Tugu dan Taman CHOGM, Pantai Lagenda dan Jeti Pelancongan Kuah), Kelompok B (Pulau Tuba), Kelompok C (Hospital Lama Kuah, Kuarters Lama Hospital Kuah dan Tapak 0 Kilometer), Kelompok D (Pasar Awam Kuah) dan Kelompok E (Projek Perumahan Rakyat Anggerik Lestari).Peserta bebas mengemukakan karya berbentuk fizikal, digital, persembahan, interaktif atau media campuran, sama ada secara individu, berkumpulan atau melalui kolaborasi bersama komuniti setempat di Langkawi.
Balai Seni Negara memaklumkan, penyertaan adalah percuma dan tarikh tutup pada 5 petang, 7 Okt, manakala pengumuman peserta terpilih dijadualkan pada 14 Okt ini.
"Peserta yang terpilih akan mengikuti Bengkel BMS29 di Langkawi pada 15 hingga 25 Nov. Sepanjang bengkel ini, peserta akan dibimbing oleh kurator dan fasilitator berpengalaman bagi memperhalusi cadangan karya mereka," menurut kenyataan itu.
Pemasangan karya akan bermula pada Mac 2026 dan diikuti dengan sesi penjurian, pengumuman pemenang serta pelancaran pameran pada April 2026.
Bagi membantu peserta memahami dengan lebih jelas mengenai BMS29, Balai Seni Negara akan menganjurkan sesi taklimat pada 1 hingga 3 Okt serta 6 dan 7 Okt 2025, dari 3 hingga 4 petang secara fizikal di Balai Seni Negara, selain turut disiarkan secara langsung di platform media sosial rasminya.
Seniman muda yang berminat boleh mengisi borang penyertaan secara dalam talian dan menghantar cadangan karya berserta dokumen sokongan melalui laman rasmi www.artgallery.gov.my/bms, manakala untuk pertanyaan lanjut, mereka boleh menghubungi urus setia melalui e-mel [email protected].
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami