SEBELUM ini tular video dipercayai bekas jurulatih bola sepak Liga Super Malaysia, Datuk Zainal Abidin keluar makan bersama bekas isteri keduanya iaitu penyanyi Fyna Jebat.

Zainal akhirnya tampil mengakui dia sememangnya ada berjumpa dan keluar makan bersama Fyna untuk berbincang beberapa masalah yang berbangkit antara mereka.

“Memang itu saya… saya jumpa bekas isteri kedua. Pergi makan, berjumpa untuk menyelesaikan beberapa masalah,” kata Zainal Abidin.

Zainal memberi penjelasan tersebut selepas ditanya oleh pengacara program Nindia Bola yang bersiaran menerusi saluran Astro Arena pada Isnin.

Dalam pada itu, Zainal turut mengesahkan hubungan rumah tangga dia dengan adik kepada penyanyi dan pelakon Ayda Jebat itu sudah berakhir secara baik.

“Memang kita dah berpisah, dengan cara berdamai,” jelasnya lagi.

Terdahulu, kisah Zainal dan Fyna menjadi hangat apabila mereka dikatakan berkahwin secara rahsia pada Januari lalu, namun tidak mendedahkan butiran lanjut kepada umum.

Fyna ketika menyertai sebuah program hiburan pada Januari lalu mengesahkan status perkahwinan mereka kepada media.

Difahamkan perkahwinan Zainal dan Fyna hanya bertahan hampir empat bulan dan berita perceraian pasangan itu mula diperkatakan awal Mei lalu.

Zainal sudah mendirikan rumah tangga dengan isteri pertamanya, Datin Zalina Zaini selama 43 tahun sejak 1980 dan bahagia dengan tiga orang cahaya mata hasil daripada perkongsian hidup itu. -Gempak