KUALA LUMPUR: Para peminat genre seram kini boleh menerokai pengalaman seram terus dari rumah menerusi drama Pooranachandhiran Kudumbathar, siri Tamil pertama berkonsepkan serigala jadian, yang akan ditayangkan di Astro bermula hari ini.

Pooranachandhiran Kudumbathar yang membawa maksud Keluarga Bulan Purnama, merupakan sebuah siri arahan pengarah Nadunisi KL, R Azizan.

Mendapat inspirasi daripada siri era 80-an, King Wolf, Azizan menampilkan pelakon-pelakon terkenal seperti  Loga Varma, Dhilip Kumar, Kuben, Punitah dan Karnan.

Azizan memberitahu, siri 20 episod itu pastinya memberi kelainan kepada penonton terutamanya pengemar karya seram untuk melayan Pooranachandhiran Kudumbathar sepenuh hati dengan bermacam debaran.

"Filem atau siri seram berkonsepkan serigala bukanlah asing dalam kalangan penonton di negara ini. Mungkin sudah banyak siri atau filem misteri yang menarik perhatian ramai di sini.

"Namun dalam konsep industri perfileman Tamil-Malaysia, Pooranachandhiran Kudumbathar merupakan siri campuran seram dan misteri yang pertama.

"Jadi, saya yakin siri ini dapat menepati harapan bukan sahaja penonton India bahkan semua penonton Astro," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.





Azizan berkata, setiap episodnya akan membuatkan penonton tertunggu untuk tahu perjalanan kisah seterusnya.

Ia boleh dianggap karya yang digarap teratur dan mantap oleh Azizan untuk disampaikan kepada penonton.

Malah katanya, keserasian lakonan juga terserlah untuk watak masing-masing

Siri ini mengisahkan bagaimana pasangan Jacob dan Awan 'menjadikan' Peter sebagai serigala 'Omega' bagi memastikan legasi mereka terus kekal.

Menariknya, selepas berkahwin, Peter dan isterinya, Alexandra terpaksa menetapkan 'curfew' dan peraturan pada waktu malam kepada anak-anak mereka bagi merahsiakan identiti mereka.

Apakah Peter dan Alexandra akan terus menyembunyikan rahsia itu atau kebenaran terbongkar?

Jadi, jangan lupa saksikan Pooranachandhiran Kudumbathar pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 9 malam di saluran 202, Astro Vinmeen dan juga Astro GO.