Golden Disk Awards melabuhkan tirainya dengan memberikan pengiktirafan tertinggi kepada PSY menerusi "Gangnam Style".

Antara anugerah lain yang diumumkan pada malam kedua ialah Artis Baru Terbaik dengan menyenaraikan B.A.P, Ailee dan Lee Hi sebagai pemenangnya tahun ini.

Seperti jangkaan awal, PSY menewaskan sepuluh artis lain untuk merebut trofi Disk Daesang.

Anugerah itu menjadi satu lagi pencapaian terbaiknya setelah video muzik Gangnam Style memecahkan rekod dunia dengan jumlah tontonan tertinggi sepanjang masa di portal video YouTube.

Epik High pula menerima trofi Bintang Hip Hop Terbaik. Bagi kategori Album/Single Terbaik, Teen Top berjaya merangkul trofi tersebut untuk tahun ini.

G Dragon, ahli kumpulan Big Bang pula dinamakan sebagai penerima anugerah populariti.

Julung kali berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Golden Disk Awards adalah anugerah tahunan paling berprestij di Korea yang mengiktiraf kejayaan industri K-pop.

Acara selama 2 hari itu menyaksikan lebih 15 ribu peminat membanjiri SIC untuk melihat bintang K-pop kegemaran mereka dengan lebih dekat.