Repvblik kembali gegar Zepp KL dengan 'Sandiwara Cinta Live in Kuala Lumpur'

Repvblik akan kembali ke Zepp KL pada 8 Februari 2026 untuk konsert Sandiwara Cinta Live in Kuala Lumpur anjuran Rockstage Entertainment. -Foto Rockstage Entertainment
KUALA LUMPUR: SELEPAS mencatat kehadiran penonton yang membanggakan dalam konsert ulang tahun ke-19 di Zepp KL pada 2023, kumpulan pop rock terkenal Indonesia, Repvblik, bakal kembali ke pentas sama awal tahun depan.
Ringkasan AI
- Repvblik akan kembali ke Zepp KL pada 8 Februari 2026 untuk konsert Sandiwara Cinta Live in Kuala Lumpur anjuran Rockstage Entertainment.
- Konsert dijangka menarik peminat dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei, dengan mutu pementasan bertaraf antarabangsa.
- Tiket mula dijual pada 3 November 2025 jam 12 tengah hari di www.myticketempire.com.
"Konsert ini dianjurkan dengan kerjasama produksi tempatan bagi memastikan mutu pementasan, pencahayaan, serta kesan bunyi mencapai standard antarabangsa yang mampu memberikan pengalaman konsert yang luar biasa kepada semua penonton," menurut kenyataan Rockstage Entertainment pada Khamis.
Menurut penganjur lagi, tiket akan mula dijual kepada peminat bermula 3 November 2025, jam 12 tengah hari secara eksklusif di www.myticketempire.com.
Repvblik pernah melalui zaman kemuncak mereka sekitar tahun 2014 ketika mana lagu "Sandiwara Cinta" dan "Selimut Tetangga" meletup di pelbagai platform media di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei satu ketika dahulu.
Menurut penganjur, Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati kumpulan itu, dan mereka tidak sabar untuk kembali berkongsi pentas bersama peminat setia buat kali kedua sejak konsert terdahulu pada 2023.
Memandangkan kehadiran penonton pada konsert lalu di Zepp KL dikatakan ‘pecah panggung’, peminat dinasihatkan untuk mendapatkan tiket seawal mungkin bagi memastikan tempat pada hari konsert itu nanti.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


