PENYANYI terkenal, Rihanna, 33, kini sedang hamil anak pertama, hasil hubungan dengan teman lelakinya, penyanyi rap A$AP Rocky.

Pasangan itu dilihat bersiar-siar di New York City pada hujung minggu dan Rihanna yang memakai jaket panjang berwarna merah jambu jelas menunjukkan ‘baby bump’.

Pakaian itu dilihat terdedah di bahagian perut sekali gus menampakkan perutnya yang semakin membesar, lapor laman web hiburan popular, People.

Dalam salah satu gambar yang dirakamkan di Harlem itu - tempat A$AP Rocky dibesarkan, pasangan berkenaan dilihat bersiar-siar di kawasan dipenuhi salji.

Tanpa berselindung, A$AP Rocky, 33, berkata, membina keluarga adalah “takdir yang ditentukan buatnya”.

“Saya fikir saya akan menjadi seorang ayah yang luar biasa. Saya akan mempunyai anak yang sangat hebat. Sangat,” katanya memetik laporan tersebut.

Untuk rekod, sumber People pada November 2020 memberitau Rihanna dan A$AP Rocky menjadi pasangan selepas bertahun-tahun menjalinkan hubungan persahabatan.

Khabar angin kisah cinta pasangan itu bertiup kencang selepas Rihanna berpisah dengan teman lelakinya, Hassan Jameel pada Januari 2020.

Julai tahun yang sama, dia menampilkan A$AP Rocky dalam kempen Fenty Skin, dan kedua-duanya melakukan beberapa temu bual bersama untuk mempromosikan kerjasama itu.

Rihanna sebelum ini mendedahkan berhubung perancangan keluarga, memberitahu British Vogue pada Mac 2020 bahawa dia “menyedari hidup ini sangat singkat”.

“Saya tahu saya akan mahukan hidup yang berbeza,” ujarnya.

Tambahnya, dalam tempoh 10 tahun akan datang, dia membayangkan dirinya mempunyai 'tiga atau empat' anak, sama ada dia mempunyai pasangan atau tidak.

“Satu-satunya perkara yang penting ialah kebahagiaan, hubungan yang sihat antara ibu bapa dan anak. Satu-satunya untuk membesarkan anak dengan sebenar-benarnya, adalah kasih sayang,” katanya.