JOHOR BAHRU: Masih teringin untuk beraksi dan menghiburkan peminat di atas pentas, namun keadaan kesihatan tidak mengizinkan Rosiah Parlam atau nama pentasnya Rose Sherox untuk terus aktif dalam persada seni tanah air.

Rose, 56, yang kini menetap di Pangsapuri Sri Ilham, Bandar Baru Seri Alam di sini sejak tiga lalu bersama dua anaknya menghidap kencing manis, darah tinggi dan batu karang serta sakit buah pinggang.

Bagi meneruskan kehidupan, Rose yang pernah mengecap populariti bersama kumpulan rock Sherox pada awal tahun 90-an sebagai penyanyi kini mengambil upah sebagai tukang urut bagi meneruskan kelangsungan hidup selepas berpisah dengan suaminya.

"Saya ambil upah mengurut sama ada di rumah atau di rumah pelanggan dengan bayaran RM60 sehingga RM70 untuk seluruh badan.

"Dulu saya mengurut dua kali seminggu tapi sekarang tak larat kerana kurang sihat.

"Ini punca pendapatan saya selain menyanyi serta dibantu anak-anak yang sudah bekerja.

"Saya sudah mengurut sejak menjadi penyanyi Sherox semasa menetap di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada era 90-an," katanya ditemui di rumahnya pada Rabu.

Sherox merupakan antara kumpulan rock yang dianggotai hampir semuanya wanita dan merakamkan satu-satunya album berjudul 'Awek Rocker' pada 1992 di bawah Pustaka Muzik SCS Sdn Bhd sebelum berpecah pada 1997.

Rose yang dilahirkan di Mersing dan dibesarkan di Pontian sebelum berpindah ke Mount Austin di sini ketika berusia 13 tahun berkata, tidak mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Baitulmal.

Ibu kepada empat cahaya mata berusia antara 14 sehingga 38 tahun dan mempunyai lima cucu itu memberitahu, pergerakannya kini agak terbatas kerana cepat lemah, sering sesak nafas, rabun dan lenguh badan kesan daripada penyakit dihidapinya.

Walaupun begitu katanya, beliau masih bersemangat untuk menyanyi bersama-sama kumpulan SS Studio atau nama penuhnya Salam Sound Studio.

"SS Studio adalah kumpulan pertama saya sebelum menyertai Sherox. Sherox ditubuhkan pada 1988 oleh Shima (gitar), Anita (bass) dan Zana (dram) sebelum saya masuk pada 1989 sebagai vokalis.

"Kami masih menyampaikan lagu-lagu rock dan membuat persembahan di majlis kahwin atau 'annual dinner'.

"Sejak tahun ini kurang aktif kerana saya sakit dan pemain dram SS Studio meninggal dunia tahun lepas selain kurang jemputan bermain di majlis kahwin," katanya.

Ditanya sama ada terdapat permintaan peminat untuk melakukan reunion bersama Sherox, pelantun lagu 'Biar Apa Pun Terjadi' dan 'Remaja Pelarian Kota' yang memiliki suara emas itu masih berminat untuk bersatu dengan anggota asal iaitu Anita dan Zana.

"Memang ramai peminat yang minta Sherox reunion termasuk buat permintaan dalam Facebook.

"Tapi masalahnya Anita susah untuk berikan komitmen kerana sekarang menjadi pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak.

"Dia yang pernah mencatat nama sebagai pengembara solo wanita bermotosikal dan mengembara di lebih 40 negara kini sudah sibuk dengan aktivitinya.

"Kami semua ikut komitmennya kerana dia merupakan ketua kumpulan," katanya.

Anita Yusof yang berasal dari Batu Pahat pernah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan termasuk memegang dua rekod Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai wanita pertama negara menunggang solo ke lima negara di Asia pada 2013.

Dalam pada itu, bagi mana-mana pihak yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Rosiah boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0112941000037674 atas nama Rosiah Parlam atau boleh menghubunginya ditalian 012-7674200. -Sinar Harian