"Saya tidak tahu tahap seriusnya cuma..." - Siti Nordiana luah simpati buat Syura Badron

Siti Nordiana (kiri) menitipkan doa buat rakan artis yang juga penyanyi popular, Syura yang kini sedang menerima rawatan di hospital akibat jangkitan kuman pada buah pinggang dan darah.
PENYANYI Siti Nordiana menitipkan doa buat rakan artis yang juga penyanyi popular, Syura Badron, yang kini sedang menerima rawatan di hospital akibat jangkitan kuman pada buah pinggang dan darah.
Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana berkata, dia hanya mengetahui keadaan sebenar Syura selepas membaca laporan berita mengenai perkara itu.
"Saya ada juga baca berita mengenai Syura. Saya doakan agar Syura sembuh,"katanya ketika ditemui Gempak
Nana berkongsi perkara tersebut pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Ahai di ibu negara, pada Jumaat.
Bagaimanapun, pelantun lagu Memori Berkasih itu berkata, dia masih belum mengetahui sejauh mana tahap kesihatan Syura ketika ini.
"Saya tidak tahu tahap seriusnya cuma saya doakan agar dia diberi kesembuhan,"ujarnya.
Terdahulu, suami kepada Syura, Muhammad Farizat Ismail memaklumkan, isterinya sedang dirawat di Unit Rawatan Ketergantungan Tinggi (HDU) di sebuah hospital akibat komplikasi kesihatan.
Bagaimanapun, Syura kini dilaporkan telah dipindahkan ke wad biasa dan sedang menjalani proses pemulihan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Nana berusia 41 tahun itu meluahkan rasa teruja dengan pelancaran single terbaharunya Ahai, selepas hampir dua tahun menimbangkan keputusan untuk mengeluarkan lagu berkenaan.
"Saya dah lama nak keluarkan lagu irama Malaysia. Ramai peminat rindukan lagu baru. Hampir setahun dua juga saya fikir untuk buat atau tidak.
"Saya memang nak lagu itu seperti lagu zaman kita membesar dan stail (Allahyarham) Pak Ngah (Datuk Suhaimi Mohd Zain) sebab saya rindu akan suasana itu. Saya nak kembalikan zaman itu. Lagu Ahai ini dalam versi tradisional dan moden," jelasnya.
Nana turut berpendapat, lagu berunsur Irama Malaysia masih relevan dan mempunyai tempat di hati pendengar tempatan.
"Lagu irama Malaysia masih relevan dan saya rasa peminat Malaysia dah khatam dan terbuka untuk menerima lagu yang kita berikan sebab sekarang banyak genre yang kita tak sangka boleh popular. Kena kembalikan lagu seperti ini sebab kita jiwa melayu," tambahnya. - Gempak
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


