RAPPER dan penerbit muzik terkenal Sean ‘Diddy’ Combs bakal membuka sekolah di tempat kelahirannya di Harlem, New York pada Ogos.

Memetik laporan Newsweek, sekolah ini merupakan hasil kerjasama antara Combs dan Capital Preparatory Schools.

Combs dalam satu kenyataan berkata, pembukaan sekolah ini merupakan salah satu usaha untuk membantu masyarakat.

“Mewujudkan sekolah ini adalah satu impian yang menjadi kenyataan bagi saya. Saya ingin membuat perubahan dalam kehidupan anak-anak muda dalam masyarakat saya dan melahirkan pemimpin masa depan.

“Langkah pertama ialah menawarkan akses kepada pendidikan berkualiti," kata Combs dalam satu kenyataan.

Sekolah yang diberi nama Capital Preparatory Harlem Charter School terletak berhampiran Central Park.

Pada sesi persekolahan 2016-2017, ia akan mengambil murid untuk Darjah 6 dan Tingkatan 1 (Grade 6 dan 7).

Sekolah itu sasar untuk kelas pertama tamat pengajian pada 2023.

Perancangan untuk membuka sekolah ini bermula pada 2011 ketika Combs berbincang bersama pihak pemimpin masyarakat dan pakar-pakar pendidikan untuk menubuhkan sebuah sekolah baru.

Pembukaan sekolah ini turut mendapat pujian netizen.