“INI kerja lebih gila daripada gila,” demikian luah Pengarah Urusan Shiraz Projects, Shiraz mengenai pengumuman tiga headliner yang akan menghangatkan NUSA FEST pada 8 dan 9 Julai ini.

Shiraz ditemui pada sidang media memperkenalkan tiga headliners NUSA FEST di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur.

Tiga headliner yang diberi penghormatan untuk menghiburkan sekitar 15,000 pengunjung yang akan membanjiri Bandar Malaysia, Sungai Besi, Selangor adalah band legenda Search, Wings dan Butterfingers.

Menurut Shiraz, persetujuan Search, Wings, dan Butterfingers untuk beraksi di NUSA FEST juga menjadi tanda aras festival yang menyatukan tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura yang bakal dilangsungkan buat pertama kali.

“Saya mahu mengucapkan jutaan terima kasih kepada Search, Wings dan Butterfingers yang bersetuju untuk beraksi di NUSA FEST.

"NUSA FEST akan kelihatan kosong tanpa headliner seperti tiga band legenda negara ini. Ia akan menjadi festival biasa.

“Pembabitan Search, Wings dan Butterfingers juga menjadi tanda aras kepada NUSA FEST menerusi penganjuran pertama kalinya selepas beberapa kali tertunda sebelum ini.

“Saya berharap objektif yang mahu disampaikan menerusi NUSA FEST seperti membawa artis Malaysia keluar negara akan tercapai dan ini bukan hanya pesta untuk berhibur semata-mata tetapi membuka peluang pekerjaan, menjalinkan kerjasama dengan negara-negara jiran serta menghargai produk dari Nusantara,” ujar Shiraz.

Bagi vokalis Search, Amy, beliau menyifatkan komitmen yang ditunjukkan pihak Shiraz untuk menghidupkan NUSA FEST dengan memilih kugiran mereka, Wings dan Butterfingers sebagai usaha yang baik.

“Ini adalah usaha yang baik dari Shiraz dan kita mempunyai misi serta visi yang sama dalam festival ini, jadi kenapa tidak kita beraksi?”ujar Amy.

Pemain drum kumpulan Wings, Black pula mengatakan bangga kerana diberi pengiktirafan menjadi headliners NUSA FEST.

Sementara vokalis Butterfingers, Emmet berkata: “Adalah hal yang menarik untuk kami di sini dan menikmati masa yang baik.”

Search, Wings dan Butterfingers dijangka beraksi selama 45 minit di panggung Mainstage.

NUSA FEST yang dijadual berlangsung pada 8 dan 9 Julai di Bandar Malaysia, Sungai Besi akan bermula seawal pukul 12 tengah hari.

Selain Search dan Wings yang akan beraksi pada hari pertama dan Butterfingers pada 9 Julai, NUSA FEST dibarisi banyak pemuzik berbakat dari tiga negara.

Ini termasuklah Kugiran Masdo, Salammuzik, Gerhana Skacinta, Monoloque, Forcparkbois, Jemson dan Budak Nakal Hujung Simpang dari Malaysia.

Indonesia pula diwakili kugiran seperti Fourtwnty, Barasuara, Pusakata, Efek Rumah Kaca, The Changcuters dan Burgerkill.

The Pinholes menjadi satu-satunya band yang mewakili Singapura.

Tiket berharga RM200 untuk dua hari atau RM700 untuk empat orang boleh dibeli menerusi www.myticket.asia atau hubungi talian 03 8605 0196.

Untuk sebarang info hubungi talian hotline 012 256 0082 atau layari laman web www.nusafest.com dan www.shirazprojects.com. -Gempak