Selepas 7 tahun, Afgan hadir dengan sentuhan pop Indonesia 'berjiwa'

'Kacamata' menjadi taruhan pertama daripada album ketujuh Afgan yang bakal dilancarkan tidak lama lagi berjudul Retrospektif.
SELEPAS tujuh tahun tidak mengeluarkan album berbahasa Indonesia, penyanyi Afgan muncul dengan naskhah yang menjadi tanda kepulangan Afgan ke akar muzikalitinya.
Jika dua album terdahulu banyak menampilkan lagu-lagu berbahasa Inggeris, kali ini Afgan kembali dengan sentuhan pop Indonesia yang berjiwa dan dekat di hati pendengar.
Menariknya, ‘Kacamata’ menjadi taruhan pertama daripada album ketujuh Afgan yang bakal dilancarkan tidak lama lagi berjudul Retrospektif.
“Bagi saya, Kacamata sangat mewakili era itu. Selama 15 tahun berkarya, saya dikenali dengan imej berkaca mata (cermin mata) dan lagu-lagu pop, jadi secara simbolik, single ini amat tepat untuk membuka tirai album baharu saya,” katanya.Jejaka berusia 36 tahun itu berkata, album Retrospektif dihasilkan sebagai perjalanan pulang ke asal muzik yang membentuk dirinya sebagai artis.
Walaupun berakar dalam genre pop, Kacamata tampil dengan wajah lebih segar apabila disuntik elemen R&B moden dan produksi muzik yang kontemporari.
Afgan kekal dengan identiti pop yang sinonim dengannya, namun kali ini hadir dengan kematangan emosi dan bunyi yang lebih berani.
Dalam proses kreatifnya, pemilik nama sebenar Afgansyah Syahreza bekerjasama dengan tiga pemuzik berbakat iaitu Iqbal Siregar, Petra Sihombing dan Kamga Mohammed.
Afgan menjelaskan bahawa Kacamata bukan sekadar lagu cinta, tetapi juga mengandungi pesan kehidupan yang mendalam.
“Lagu ini ibarat peringatan untuk kita agar tidak kehilangan diri sendiri ketika berhadapan dengan kekecewaan,” ujarnya.
Dengan melodi santai, Kacamata memberi ruang kepada pendengar untuk merenung makna hidup bahawa hidup tidak selamanya berat dan kadangkala, kita hanya perlu tersenyum di tengah kekecewaan.
Selain itu, video muzik Kacamata turut menarik perhatian peminat. Dihasilkan oleh Shadtoto Prasetio, video tersebut menampilkan konsep nostalgia era 90-an dengan sentuhan moden yang segar.
Afgan turut digandingkan dengan pelakon popular Yuki Kato, dan mereka muncul dalam adegan permainan catur yang menjadi simbol perjalanan cinta penuh strategi, langkah maju, undur, pertahanan dan pengorbanan.
Single Kacamata kini sudah boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 10 Oktober 2025, manakala album penuh Retrospektif dijadualkan dilancarkan pada November 2025.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami