PELAKON terkenal, Nur Fazura akui teruja untuk membawakan watak aksi sebagai ketua srikandi, Sayang dalam filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.

Mengulas mengenai wataknya itu, Fazura memaklumkan dirinya harus lebih berhati-hati untuk melakukan babak aksi sendiri terutamanya menerusi adegan menunggang kuda.

Menurut Fazura, meskipun mempunyai pengalaman menunggang kuda sebelum ini, namun dia tetap risau sekiranya berlaku kemalangan serius.

“Sejak hari pertama lagi saya sudah cedera. Setiap hari saya berdoa agar tidak terjatuh daripada kuda yang saya tunggang.

“Saya risau sebab badan ini kita nak gunakan untuk mengandung dan bersalin lagi selepas ini.

“Adik-adik yang jatuh di set pun saya risau juga. Ada yang sampai kuda terbalik.

"Saya bawa karakter saya itu sebagai ketua srikandi untuk menjaga keadaan pelakon-pelakon lain di set,” katanya kepada MH.

Isteri kepada pelakon Fattah Amin itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem berkenaan yang berlangsung di GSC, IOI Citi Mall, Putrajaya pada Selasa.

Ditanya adakah Fazura sedang berbadan dua ketika berlakon di dalam tersebut, ini reaksi yang diberikan oleh ibu kepada seorang cahaya mata itu;

“Jangan salah anggap. Saya tidak mengandung. Saya cuma risaukan keadaan peranakan saya dan pelakon-pelakon wanita lain. Itu sahaja,” ulasnya.

Dalam pada itu, Fazura turut memaklumkan dia dan suami kini belum bersedia untuk menimang cahaya kedua memandangkan kedua-dua mereka mempunyai jadual kerja yang agak padat.

“Saya dan Fattah mengambil langkah perancangan keluarga. Kami berdua mempunyai jadual kerja yang sangat padat.

“Kami sudah pun menandatangani kontrak untuk sesebuah projek. Kalau saya mengandung, saya kenal keadaan badan saya. Semasa hamilkan Fatima, hampir tiga bulan pertama saya baring sahaja.

“Ada rakan pelakon yang mengandung tanpa sengaja ketika berlakon. Ia menjejaskan kesihatan mereka, bayi dan komitmen kerja. Sebagai wanita bertanggungjawab, saya dan suami kena merancang sebaiknya.

Pendekar Awang: Darah Indera Gajah merupakan kesinambungan daripada filem pecah panggung, Mat Kilau: Kabangkitan Pahlawan yang diterbitkan pada 2022.

Selain Fazura, filem ini turut dibintangi oleh Fattah Amin, Nadhir Nasar dan Amirul Affendi. -Media Hiburan