ENTERTAINMENT
Suami Kiah Propa meninggal dunia akibat kanser

Suami Kiah Propa, Mohamad Nazri Ismail, 57, meninggal dunia di Institut Kanser Negara (IKN) Putrajaya, sekitar pukul 6 pagi Selasa. - Gambar Instagram @kiahpropasebenarr
KUALA LUMPUR: Suami pelakon dan pengacara popular, Siti Rokhaidah Abdul Khalil atau Kiah Propa, Mohamad Nazri Ismail, 57, meninggal dunia di Institut Kanser Negara (IKN) Putrajaya, sekitar pukul 6 pagi Selasa.
Allahyarham Mohammad Nazri disahkan menghidap kanser leher dan kelenjar air liur, November lalu.
Berita duka itu dikongsi Kiah Propa melalui hantaran Instagram (IG), pagi tadi.
"Assalamualaikum, suami saya baru menghembuskan nafas yang terakhir kira-kira jam 6 pagi tadi di IKN."Insya-Allah jenazah akan disimpan (dikebumi) di Saujana Utama, Selangor.
"Saya mohon semua yang menonton video ini dapat mendoakan agar rohnya tenang dan semoga dicucuri rahmat," kata Kiah dalam hantaran itu.
Pada Isnin, Kiah memaklumkan, kesihatan suaminya merosot apabila paras oksigen turun selain mengalami jangkitan dalam darah.
Kiah dan suaminya mendirikan rumah tangga pada 2011, namun, bercerai pada 2016 dan rujuk semula pada 16 November lalu.
Ketika itu, Kiah dilapor melamar suaminya dengan niat ingin menjaga beliau yang menghidap kanser.
Kiah dan Allahyarham Mohammad Nazri dikurniakan dua cahaya mata perempuan berusia 13 dan sembilan tahun.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami