Penggiat seni filem tempatan dan antarabangsa berdepan isu utama apabila terpaksa menangguhkan tayangan filem di pawagam akibat penularan pandemik COVID-19.

Malah, ia turut dirasai para pencinta filem Malaysia apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang turut disertai dengan prosedur operasi standard (SOP).

Secara tidak langsung, segala perancangan untuk mempertontonkan filem di pawagam menemui jalan buntu.

Justeru, selaras dengan normal baharu, Astro mendapati corak menonton turut berubah apabila penonton sering dahagakan kandungan hiburan yang lebih segar dan berkualiti apabila masa lebih banyak dihabiskan di rumah.

Dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), pihak Astro mencari jalan penyelesaian untuk memenuhi permintaan penonton serta membuka ruang buat para penerbit untuk mempersembahkan karya mereka.

Menurut Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid, melalui kaedah ini, ia terbukti apabila filem yang memasuki saluran Astro First mendapat kutipan yang lebih baik berbanding filem-filem yang ditayangkan di pawagam pada tahun 2019.

Zakaria berkata filem ‘Syif Malam Raya’ yang mula disiarkan minggu sambutan hari raya telah mengutip sebanyak RM3 juta dalam tempoh hanya 10 hari tayangan menjadikan rekod tertinggi kutipan filem pada tahun 2020 setakat ini.

“Filem ‘Syif Malam Raya’ telah berjaya di Astro First dan ia telah menjadi perubahan yang baik dalam penerbitan filem di Malaysia.

“Saya berharap akan ada lebih banyak lagi kejayaan filem tempatan apabila ditayangkan di saluran berbayar sewaktu kita menghadapi cabaran getir ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, langkah ini telah membuka ruang buat penerbit di luar sana untuk membawa filem mereka ditayangkan buat pertama kali terus ke pawagam rumah penonton menerusi saluran Astro First.

“Selepas kejayaan filem arahan Mamat Khalid, ‘Manap Karaoke’ pada 7 Mei, ia telah berjaya mengutip RM1 juta.

“Filem ini ditayangkan pada minggu sambutan Raya Aidilfitri dan menjadi saat penting buat para penerbit untuk melihat kejayaan filem mereka,” katanya.

Syif Malam Raya’ dan ‘Manap Karaoke’ kini boleh didapati di Astro First melalui TV dan On Demand dan juga boleh distrim di Astro GO dan juga NJOI.

Kenyataan itu turut menyebut, Astro menawarkan ruang dan khidmat pemasaran kepada penerbit dan pengarah yang ingin membawa filem mereka kepada lebih 5.6 juta pelanggan di rumah.

“Akan datang, pelanggan akan dapat menikmati dua buah filem tempatan baharu iaitu ‘Ada Apa Dengan Dosa’, sebuah filem percintaan drama dan sebuah filem seram, ‘Town Mall’ di Astro First tidak lama lagi,” katanya.