IBU kepada Tan Sri Michelle Yeoh iaitu Datin Janet Yeoh, 84, tidak mengetahui mengenai majlis perkahwinan anaknya yang berlangsung Khamis lalu di Geneva, Switzerland.

Bagaimanapun, Janet melihat 'kerahsian' itu dari sudut positif dan berharap Michelle 60, akan mengadakan majlis resepsi di Malaysia kelak.

"Anak saya memang sentiasa menghubungi saya tetapi menerusi perbualan dua minggu lalu, dia tidak bercakap mengenai perkara itu (majlis perkahwinannya).

“Mungkin dia sengaja nak berikan kejutan kepada saya,” katanya dalam wawancara bersama media berbahasa Cina hari ini.

Menurut Janet lagi, dia adalah individu paling gembira dengan perkahwinan tersebut, tambahan pula selama ini kerap meminta mereka segera bergelar suami isteri.

“Todt sudah banyak kali melamar dan dia hanya ketawa serta mengatakan seronok setiap kali dilamar. Todt memang terlalu cintakan Michelle,” kata Janet.

Berita perkahwinan Michelle dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Ferrari, Jean Todt, 70, 'bocor' selepas bekas pelumba Formula Satu (F1), Felipe Massa berkongsi dalam satu hantaran di Instagram pada Jumaat.

Perkahwinan itu menoktahkan penantian Todt selama 19 tahun untuk menjadi suami Michelle selepas mereka bertunang pada 26 Julai 2004. - Sinar Harian