Teknologi digital membuka 'pintu' baharu bagi uji kaji muzik. Komposer dan pengatur muzik terkenal, Steve Sidwell, berkata penggunaan teknologi digital membolehkan komposer seperti dirinya menikmati kemudahan untuk mencuba idea baharu.

"Apa yang saya suka mengenai proses ini ialah, bagi saya, ada kalanya ia (program komputer) memberi saya peluang untuk mencuba sesuatu yang saya tidak mungkin berani lakukan di studio.

"(Di studio) saya mempunyai tiga jam untuk merakam muzik berdurasi 20 minit. Saya perlu membayar AS$30,000 bagi pengalaman ini, saya tidak boleh menjejaskannya," katanya ada KL Converge 2014 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Sidwell, yang menyumbang muzik bagi beberapa filem terkenal seperti Moulin Rouge dan New Avengers, berkata peralatan analog tidak kurang hebatnya.

"Ia seperti fotografi, jurugambar hebat bekerja dengan filem. Sekarang, kita semua boleh mengambil 50 gambar dalam beberapa saat, dan satu daripadanya pasti okay..ia adalah pemahaman mengenai gambaran, itu adalah artis yang sebenar, rasa sayalah," katanya.

Semasa ceramah Sidwell, beberapa karya beliau telah menarik perhatian kira-kira 300 hadirin.
Beliau juga pernah memenangi beberapa anugerah bagi penghasilan muziknya.

Sidwell, yang juga pengarah muzik, pernah bekerja dalam banyak produksi termasuk 'Robbie Williams Live in Albert Hall', konsert penyerahan Olimpik BBC dan Royal Variety Show.