Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Datuk Yusof Haslam menafikan wujudnya amalan pilih kasih dalam pemilihan calon yang bertanding dalam Festival Filem Malaysia (FFM) yang ke-28.

Beliau menegaskan tiada kepentingan peribadi yang berlaku dalam pemilihan calon untuk kategori Filem Terbaik.

“Saya berani bersumpah tiada kepentingan peribadi yang berlaku dalam pemilihan calon FFM28 ini, malah barisan juri bagi FFM kali ini pun saya tidak tahu.

“Dengan pelbagai tuduhan seperti salah guna kuasa dan sebagainya kepada PFM, saya dengan ini bersedia untuk melepaskan tanggungjawab ini kepada pihak lain pada acara FFM,” katanya dalam sesi dialog #TanyaFinas 'FFM: Isu, Rasional dan Hala Tuju' di Pitching Centre Finas KL Sentral pada Isnin.

Sesi dialog itu dipengerusikan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Kamil Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif PFM, Pansha Nalliah.

Isu 'pilih kasih' itu mendapat tumpuan dalam sesi dialog itu susulan dua filem anak Yusof Haslam iaitu, Mat Moto: Kami Mat Moto Bukan Mat Rempitdan Munafik tercalon dalam kategori Filem Terbaik FFM28.