PUTRAJAYA: Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) hari ini meningkatkan Tahap Ancaman Keselamatan Siber Negara daripada Rendah kepada Sederhana, demikian menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Dalam kenyataan hari ini, MKN memaklumkan ia sebagai langkah berjaga-jaga susulan perkembangan keselamatan semasa bagi memastikan perkhidmatan penting negara terus terlindung daripada sebarang kemungkinan gangguan.
“NACSA telah mengadakan sesi mesyuarat bersama-sama Ketua Sektor dan entiti infrastruktur maklumat kritikal negara (NCII) bagi memperkukuh penyelarasan kesiapsiagaan di setiap sektor.
“Mesyuarat menetapkan agar semua entiti NCIl melaksanakan sembilan tindakan kesiapsiagaan keselamatan siber, termasuk pemantauan 24 jam, tampalan sistem, pengesahan pelbagai faktor dan pengemaskinian Pelan Kesinambungan Perkhidmatan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 3 Nov lepas berhubung kesiapsiagaan keselamatan negara dalam menghadapi perkembangan konflik geopolitik serta ketegangan keselamatan serantau dan antarabangsa.
MKN memaklumkan Ketua Sektor NCII juga dikehendaki mengemukakan laporan status ancaman secara mingguan kepada NACSA. Langkah kesiapsiagaan keselamatan siber itu turut dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan pada 3 Nov.
Selain itu, NACSA melalui Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara (NC4) melaksanakan tiga gerak kerja utama secara berterusan, iaitu pengeluaran amaran dan nasihat keselamatan siber, pengukuhan keupayaan pengesanan dan penilaian ancaman serta pemantauan keselamatan siber terhadap entiti NCIl dan agensi kerajaan.
“Langkah ini membolehkan tindakan pencegahan dan mitigasi diambil lebih awal bagi mengurangkan risiko gangguan terhadap perkhidmatan penting negara.
“Sepanjang Oktober 2026, NC4 telah mengeluarkan lapan amaran dan nasihat berhubung kerentanan yang memberi impak kepada entiti NCII dan agensi kerajaan,” menurut kenyataan itu.
MKN kekal komited dalam memastikan keselamatan, kestabilan dan kedaulatan negara terus terpelihara melalui langkah kesiapsiagaan yang menyeluruh, bersepadu dan berterusan, demi melindungi rakyat serta kepentingan negara.
Sebelum ini, Perdana Menteri dilaporkan berkata Malaysia antara negara yang berpotensi menjadi sasaran serangan siber susulan kekuatan infrastruktur digital dan pusat data negara, selain pendirian tegas kerajaan dalam beberapa isu antarabangsa, khususnya Palestin dan Gaza.
Anwar berkata perkara itu berdasarkan maklumat risikan yang diperoleh kerajaan, namun tidak semua butiran berkaitan ancaman berkenaan boleh didedahkan kepada umum.
-- BERNAMA