Isteri penyanyi, Saleem daripada kumpulan Iklim menafikan berita tentang suaminya yang dilaporkan sudah meninggal dunia akibat kemalangan motosikal, baru-baru ini.

Menurut Julia Bachok ketika dihubungi Astro AWANI hari ini suaminya baharu sahaja dipindahkan ke Pakar Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sebentar tadi.

“Tolong jangan percaya apa yang dilaporkan di media sosial berhubung keadaan Saleem. Beliau sedang menerima rawatan rapi di hospital ini,” katanya.

Saleem terlibat dalam kemalangan selepas motosikal yang ditunggangya dilanggar sebuah kereta di Bandar Mahkota, Cheras pada Khamis.

Pelantun lagu pop rock, Suci Dalam Debu dilaporkan kritikal akibat kecederaan di tulang rusuk.

“Saya berharap peminat Saleem dapat mendoakan agar beliau cepat sembuh,” tambahnya.