Skip to main content

Malaysia

Festival Of Ideas Putrajaya: Peritocare UKM tawar rawatan dialisis mudah alih untuk pesakit buah pinggang

Inovasi yang diterajui Ketua Penyelidik Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN) UKM, Prof Dr Azrul Azlan Hamzah, itu memberi tumpuan kepada usaha mengecilkan saiz peralatan dialisis supaya rawatan dapat dilakukan dengan lebih fleksibel, termasuk di rumah dan ketika pesakit berada di luar.
Inovasi yang diterajui Ketua Penyelidik Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN) UKM, Prof Dr Azrul Azlan Hamzah, itu memberi tumpuan kepada usaha mengecilkan saiz peralatan dialisis supaya rawatan dapat dilakukan dengan lebih fleksibel, termasuk di rumah dan ketika pesakit berada di luar.

Ringkasan AI

  • PeritoCare, peranti dialisis peritoneal mudah alih hasil inovasi UKM, membolehkan pesakit buah pinggang tahap akhir menjalani rawatan dengan lebih fleksibel dan mudah alih.
  • PeritoCare dilengkapi teknologi IoT dan aplikasi digital, membolehkan pemantauan rawatan secara automatik serta akses maklumat rawatan tanpa keperluan ke pusat rawatan.
  • PeritoCare telah menjalani ujian klinikal pertama pada 2022 dan akan dikomersialkan oleh UKM pada 9 Oktober 2024 untuk manfaat pesakit dan pembangunan teknologi tempatan.
Advertisement

BANGI: Pesakit buah pinggang tahap akhir berpotensi menikmati lebih banyak kebebasan untuk bergerak dan menjalani kehidupan harian menerusi pembangunan PeritoCare, inovasi peranti dialisis peritoneal mudah alih yang dibangunkan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Inovasi yang diterajui Ketua Penyelidik Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN) UKM, Prof Dr Azrul Azlan Hamzah, itu memberi tumpuan kepada usaha mengecilkan saiz peralatan dialisis supaya rawatan dapat dilakukan dengan lebih fleksibel, termasuk di rumah dan ketika pesakit berada di luar.
 

Image
inovasi UKM


"Idea pembangunan PeritoCare tercetus daripada keperluan meningkatkan mobiliti pesakit yang sebelum ini terikat dengan jadual rawatan dialisis, khususnya mereka yang menjalani hemodialisis di pusat rawatan beberapa kali seminggu.

"Motivasi utama kami untuk mewujudkan mesin dialisis mudah alih ini ialah mobiliti, iaitu kebolehgerakan pesakit itu sendiri dan apabila pesakit mengalami penyakit buah pinggang tahap akhir, kebanyakan masa mereka tidak dapat bergerak kerana perlu menjalani rawatan tiga kali seminggu, selama tiga hingga empat jam setiap sesi," katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.

Menurutnya, keadaan itu boleh menjejaskan produktiviti dan kehidupan sosial pesakit, malah ada yang berdepan kesukaran untuk terus bekerja kerana perlu mengutamakan jadual rawatan.

Justeru katanya, pasukan penyelidik berusaha mengecilkan peralatan dialisis konvensional kepada peranti lebih kompak yang boleh dibawa bersama pesakit.

Image
inovasi UKM


Mengulas lanjut, beliau berkata, PeritoCare menggunakan pendekatan dialisis peritoneal, iaitu kaedah rawatan yang memanfaatkan lapisan peritoneum dalam abdomen sebagai membran penapis untuk membantu menyingkirkan bahan buangan dan lebihan cecair daripada darah.

"Berbeza dengan hemodialisis yang menggunakan mesin untuk menapis darah di luar badan, dialisis peritoneal membolehkan rawatan dilakukan melalui pertukaran cecair dialisis dalam rongga abdomen.

"Kepakaran IMEN dalam bidang kejuruteraan mikro dan nanoelektronik membolehkan pasukan penyelidik memberi tumpuan kepada pengecilan peranti perubatan tanpa mengabaikan fungsi asas yang diperlukan bagi proses rawatan. 

"PeritoCare dibangunkan sebagai sistem dialisis peritoneal mudah alih yang boleh digunakan bagi meningkatkan fleksibiliti pesakit," ujarnya.
 

Advertisement
Image
inovasi UKM


Dari sudut teknologi digital Azrul menjelaskan, PeritoCare menggabungkan peranti klinikal mudah alih dengan aplikasi yang berfungsi sebagai penghubung antara pengguna dan peranti. 

Tambah beliau, sistem itu turut dilengkapi teknologi Internet Kebendaan (IoT) bagi membolehkan maklumat pemantauan rawatan dihantar secara automatik kepada pihak hospital.

"Pendekatan itu membolehkan pesakit dan petugas kesihatan mengakses maklumat berkaitan rawatan melalui paparan digital yang lebih jelas dan mesra pengguna, sekali gus membantu pemantauan tanpa memerlukan pesakit sentiasa berada di pusat rawatan. 

"Reka bentuk aplikasi turut memberi penekanan kepada kemudahan penggunaan supaya tidak memerlukan pesakit mempunyai kemahiran teknologi yang tinggi," katanya.

Dalam pada itu, pembangunan PeritoCare bukan usaha singkat apabila penyelidikan awal berkaitan sistem berkenaan bermula sekitar 2013 sebelum melalui beberapa peringkat pembangunan dan pengujian. 

Image
inovasi UKM


Satu kajian semula teknologi penggantian fungsi buah pinggang yang diterbitkan pada 2025 turut menyatakan sistem PeritoCare menjalani ujian klinikal pertama melibatkan 11 pesakit yang selesai pada Mac 2022, manakala projek itu masih diteruskan.

Azrul berkata, perkembangan itu menjadi antara asas kepada usaha membawa inovasi berkenaan ke peringkat lebih luas apabila UKM mengadakan majlis pengkomersialan produk PeritoCare pada 9 Oktober 2024. 

"Pembangunan teknologi seumpama itu diharap dapat membantu pesakit menjalani kehidupan lebih aktif tanpa terlalu dibebani keperluan untuk berada di satu lokasi bagi mendapatkan rawatan. 

"Motivasi utama kami ialah supaya mereka boleh bergerak. Contohnya, pesakit boleh melakukan perjalanan dan menjalani aktiviti seperti menunaikan haji atau umrah," katanya.

Beliau berkata, PeritoCare mencerminkan usaha penyelidik UKM menterjemahkan kepakaran kejuruteraan kepada penyelesaian kesihatan yang memberi manfaat kepada pesakit, selain membuka ruang kepada pembangunan teknologi perubatan tempatan yang berpotensi diperluas ke pasaran lebih besar.
 

Advertisement
Image
inovasi UKM


Inovasi ini adalah hasil daripada penyelidikan UKM yang memberikan impak secara terus kepada masyarakat bersesuaian dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Festival Of Ideas (FOI) Putrajaya 2026 yang akan berlangsung pada 17 hingga 19 November ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

 

 

Must Watch Video

Advertisement