PENERBIT Astro Shaw telah mengumumkan bakal mengangkat watak utama daripada drama premium penuh fenomena, Projek: High Council iaitu Kahar, ke layar perak pada penghujung tahun ini.

Masih mengekalkan pelakon utamanya, Amir Ahnaf, filem bertajuk Projek: Kahar ini merupakan prekuel dan sekuel kepada drama premium tersebut.

Filem ini akan diarahkan oleh pengarah Projek: Anchor SPM dan juga filem Pusaka iaitu Razaisyam Rashid,
manakala penulisnya pula dari pengarah Projek: High Council dan Polis Evo, Anwari Ashraf.


Sementara itu, pihak Astro Shaw bakal mengadakan sesi pencarian pelakon yang bersesuaian bagi dua watak utama yang lain, iaitu watak Beja dan Megat.

Sesi uji bakat fasa pertama dibuka bermula 4 Mac hingga 16 Mac.

Pencarian bakat ini terbuka buat semua warganegara Malaysia, lelaki, berusia dalam lingkungan 18 tahun ke atas dan boleh memberi komitmen untuk fasa praproduksi dan produksi filem bermula bulan April ini hingga Julai hadapan.

Bagi yang berminat, boleh ikuti langkah-langkah berikut:

• Langkah satu : Muat naik video berdurasi 1 minit 30 saat yang mengandungi pengenalan diri anda dan kenapa anda minat dengan Projek : High Council dan kenapa anda mahu menjadi sebahagian Projek : Kahar (durasi 30 saat).

• Langkah kedua : Pilih salah satu babak dari siri Projek : High Council dan lakon semula babak tersebut sebagai satu watak (durasi 1 minit).

• Langkah ketiga : Muat naik video tersebut di platform TikTok dengan menggunakan #AkuProjekKahar. Dan tekan butang hantar. Pastikan akaun TikTok anda tidak private.

• Langkah empat : Hantar link TikTok anda ke borang penyertaan.

• Langkah kelima : Borang Penyertaan boleh didapati di Instagram Astro Shaw atau Astro Gempak dan imbas QR kod bagi menghantar butiran anda beserta muat naik dua gambar anda (gambar penuh / full shot dan gambar portrait/ mug shot) dan tekan butang hantar. -Gempak