AKTOR senior Hollywood, Robert De Niro mendedahkan dia baru menimang cahaya mata ketujuh.

Pengumuman tersebut dibuat sewaktu dirinya hadir ke acara Entertainment Tonight Canada untuk mempromosikan filem terbaharunya, About My Father.

De Niro memperbetulkan kenyataan yang dikeluarkan hos ET Canada, Brittnee Blair yang mengatakan aktor tersebut mempunyai enam anak.

“Tujuh sebenarnya. Saya baru menimang cahaya mata,” ujar aktor berusia 79 tahun itu seperti dilaparkan Insider.

Pemenang dua kali Oscar itu bagaimanapun tidak memperincikan siapa ibunya dan bila anak tersebut lahir.

Bintang filem The Godfather: Part 11 dan Meet the Parents itu diketahui mempunyai dua orang anak menerusi perkahwinan pertamanya bersama Diahnne Abbott.

Dia juga memiliki sepasang kembar lelaki hasil perkongsian hidup bersama pasangannya seorang model, Toukie Smith dan dua lagi anak dengan bekas isterinya, Grace Hightower.

Kesemua anak-anaknya berusia di antara 51 hingga 11 tahun.

Sementara itu berbicara mengenai filem terbarunya About My Father, De Niro mengaku dirinya bukan seorang bapa yang cool.

“Saya rasa semua ibu bapa melakukan hal yang sama seperti meletakkan syarat dan tidak terlalu memberi kebebasan kepada anak-anak. Saya lakukan itu.

“Malah kadang-kadang saya juga ada berdebat dengan anak perempuan yang berusia 11 tahun, tetapi mereka tetap menghormati keputusan saya,” katanya.