TOKOH politik terkenal Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah mencuri perhatian wargamaya apabila menegur seorang wartawan yang bertanyakan soalan dalam bahasa Inggeris.

Menerusi laman sosial Twitter, seorang pengguna @ladyarshankaur berkongsi sepotong video sesi temuramah Tengku Razaleigh atau lebih mesra disapa Ku Li bersama pihak media.

“Apabila menemuramah tokoh yang berbangsa Melayu, sila guna Bahasa Melayu. Bahasa jiwa bangsa. Bahasa Melayu telah termaktub di dalam Perlembagaan sebagai bahasa rasmi,” tulis pengguna tersebut menerusi satu kicauan.Menerusi video berdurasi 12 saat itu, seorang wartawan meminta kenyataan daripada Ku Li dalam bahasa Inggeris.

Ku Li kemudian menjawab, “You Melayu ke? I cakap Melayu sahaja,” ulasnya sambil berpaling.

Hasil tinjauan Gempak di ruangan Twitter, rata-rata wargamaya memuji tindakan Ku Li yang hanya mahu menjawab dalam bahasa Melayu.

Malah, tidak kurang juga ramai yang menyanjung semangat Ku Li dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Terbaiklah Ku. Patut menjadi ikutan semua pemimpin,” puji seorang wargamaya.

“Aku sokong walaupun aku bukan Melayu. Sebab ia bahasa kebangsaan. Bangsa aku Bidayuh, walau satu bangsa tetapi kami ada beberapa dialek berbeza dan kami tak faham satu sama lain jika kami menggunakan dialek daerah masing-masing. Akhirnya bahasa Melayu yang buat kami faham satu sama lain,” luah seorang wargamaya.



“Bagus teguran YB Tengku Razaleigh pada pemberita Melayu. Memalukan pemberita-pemberita yang tak boleh cakap Melayu,” ujar seorang wargamaya.

“Teguran yang tegas! Tegas tak bermaksud sombong ye,” kata seorang wargamaya.

“Orang lama kalau berkias, makan dalam! Amik hang,” komen seorang wargamaya lagi.

Perkongsian video tersebut sehingga kini telah menerima hampir 300,000 tontonan dan 17,000 ulang kicau daripada warga Twitter.