KUALA LUMPUR: Pas hari ini menegaskan bahawa parti itu tidak akan mengubah matlamat perjuangannya meskipun strategi dan pendekatan politik boleh disesuaikan mengikut keperluan semasa.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata dakwaan bahawa Pas sering menukar “tiang gol” tidak tepat kerana parti itu kekal berusaha mencapai matlamat yang sama.
“Ada yang kata Pas selalu tukar tiang gol. Hakikatnya Pas tetap akan berusaha menjaringkan gol di gawang lawan dan tidak akan sama sekali jaringkan gol sendiri.
“Dalam proses menjaringkan gol itulah strategi, pemain bahkan jurulatih sekalipun sentiasa perlu ditukar ganti jika perlu,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Isnin.
Menurut beliau, Pas akan terus berpegang kepada prinsip perjuangan parti dan tidak akan bekerjasama dengan pihak yang dianggap sebagai lawan politiknya.
“Jangan bimbang, selagi 90 minit belum berakhir, matlamat menjaringkan gol ke gawang lawan tetap berjalan.
“Pasukan Pas tidak akan bergabung dengan pasukan lawan jaringkan gol sendiri,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai medan seterusnya untuk Pas membuktikan pendirian tersebut.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pihak tertentu supaya tidak terlalu optimis terhadap kenyataan Pas berhubung dakwaan rundingan politik antara kedua-dua parti.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata Pas boleh mengubah pendirian pada bila-bila masa dan menegaskan tiada sebarang perbincangan dimuktamadkan antara UMNO dan Pas menjelang PRN Negeri Sembilan.