KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan lebih RM100 juta untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini dalam usaha memperkukuh agenda pembangunan modal insan di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata peruntukan berkenaan memberi manfaat kepada ribuan pelajar yang melanjutkan pengajian, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Pembiayaan itu menampung pelajar sedia ada serta 2,182 pelajar baharu bagi sesi 2026 di peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana.
“Sehingga kini, jumlah keseluruhan pelajar yang menerima tajaan BKNS telah mencecah 13,389 orang, mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri memastikan akses pendidikan berkualiti," katanya dalam ucapan pada Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-37, di sini, hari ini.
Hajiji berkata BKNS turut menambah 10 penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan penerima anugerah itu seramai 60 orang.
“Kumpulan Yayasan Sabah turut meningkatkan penerima anugerah berkenaan sebanyak 10 orang kepada 50 penerima tahun ini. Kerajaan negeri juga menawarkan skim biasiswa utama lain termasuk Biasiswa Anugerah TYT Sabah, Biasiswa Perdana, BCKNS serta Biasiswa Program B40 dan Luar Bandar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata peluasan peluang pendidikan kesihatan menyaksikan 30 anak Sabah dipilih mengikuti program Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan, Diploma Fisioterapi serta Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Kardiovaskular.
Program berkenaan dilaksanakan hasil kerjasama Kumpulan Yayasan Sabah, Institut Jantung Negara (IJN) dan IJN University College menerusi memorandum persefahaman yang dimeterai April lepas.
Hajiji berkata inisiatif tersebut selaras dengan keperluan Sabah untuk menambah tenaga kerja mahir kesihatan selain membekalkan latihan profesional dalam bidang kritikal.
Seramai 15 anak Sabah juga sedang mengikuti Program Pembantu Perawatan Pesakit di IJN University College menerusi penyelarasan Yayasan Sabah bersama University College Sabah Foundation (UCSF).
Mengenai inisiatif lain, Hajiji berkata Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (BCKNS) telah membelanjakan sebanyak RM141.29 juta untuk 835 penerima manakala Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) membantu 15,629 penerima membabitkan peruntukan melebihi RM25 juta.
“Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (MUIS) melalui Bahagian Zakat dan Fitrah pula menyalurkan RM12.7 juta bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini untuk yuran pendaftaran awal dan tiket penerbangan.
“Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) turut meneruskan 14 inisiatif pendidikan sejak 2021 termasuk BUDI, BAKTI, BAIK, SUBFLY dan SENTOSA,” katanya.
Mengulas prestasi pendidikan negeri, Hajiji menyifatkan keputusan SPM 2025 membanggakan selepas mencatat Gred Purata Negeri (GPN) 4.85 berbanding 5.00 pada tahun sebelumnya, iaitu julung kali berada di bawah paras 5.00.
Sehubungan itu, beliau menggesa pelajar terus meneroka bidang strategik seperti minyak dan gas, tenaga, TVET serta Kecerdasan Buatan (AI) yang menjadi pemacu pembangunan ekonomi masa depan.
-- BERNAMA