Lebih 1,000 orang menyambut kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Pasar Awam Bayan Baru, di sini hari ini.

Ramai yang datang sejak awal pagi bukan hanya untuk membeli barangan di pasar dan bersarapan tetapi semata-mata ingin melihat Perdana Menteri dari dekat.

Sok Yat Foh, 65, berkata beliau datang ke pasar pukul 7 pagi semata-mata untuk berjumpa Perdana Menteri dan ketika sampai orang ramai telah berada di sekitar kawasan berkenaan.

"Ingat saya dah awal, rupa-rupanya ramai lagi yang datang awal dan jumlah pengunjung memang di luar jangkaan. Nasib saya baik kerana dapat tengok Perdana Menteri lebih dekat hari ini," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Pada lawatan itu, Najib yang diiringi pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk Menteri Pelancongan Datuk Seri Ng Yen Yen yang juga Pengerusi MCA negeri melawat pasar berkenaan kira-kira sejam dan kehadiran Perdana Menteri di pasar berkenaan turut mendapat sorakan dan laungan
'1Malaysia, Hidup PM serta Hidup BN'.

Najib dan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil peluang bersarapan bersama orang ramai di pasar berkenaan dengan Najib menikmati capati dan air kopi o panas sebelum beramah mesra dengan orang ramai serta menerima memorandum daripada sekumpulan pelabur emas dari Genneva Malaysia Sdn Bhd.

Seorang warga emas Hashim Ahmad, 90, berkata beliau sangat gembira hari ini kerana dapat bersarapan dengan Najib dan Abdullah.

"Ini pertama kali dalam hidup saya selepas 90 tahun dapat makan dan minum dengan pemimpin nombor satu negara iaitu Datuk (Seri) Najib dan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah.

"Perasaan memang tak tau nak kata apa pasal sangat gembira, cuma saya sempat berbual dengan Tun Abdullah manakala Perdana Menteri ramai sangat yang datang untuk bersalam," katanya yang tinggal di Sungai Nibong Kechil, di sini.

Seorang peniaga makanan, G.Iswaree, 45, berkata kehadiran Perdana Menteri di pasar telah memberi rezeki yang lebih kepadanya kerana kebiasaannya beliau hanya meraih hasil jualan RM100 tetapi hari ini beliau memperoleh RM1,000.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sepanjang 20 tahun saya berniaga di sini, ini pertama kali saya memperoleh jualan yang paling banyak.

Saya juga gembira kerana beliau (Najib) sempat singgah di gerai saya dan bertanya khabar," katanya.