Seramai 1,263 penyelia Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bakal menikmati kenaikan gred jawatan berkuatkuasa 1 Julai depan.

Pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaras dengan langkah penstrukturan semula agensi kerajaan itu.

"Penyelia KEMAS pelbagai jurusan gred S17 dinaikkan ke gred S22 melibatkan 920 orang, Penyelia Prasekolah KEMAS gred S17 dinaikkan ke gred S27 melibatkan seramai 164 orang," katanya semasa berucap pada Perhimpunan Perdana Anggota KEMAS sempena Hari Pendidik 2016 di MAEPS, di sini hari ini.

Selain itu, kenaikan turut melibatkan 178 orang Penyelia Kanan KEMAS gred S22 yang dinaikkan ke gred S27.

"Seorang Ketua Penyelia Kanan KEMAS Negeri gred S27 juga dinaikkan ke gred S32," tambah beliau lagi.

Najib berharap pengumuman itu akan memberi nafas baru kepada anggota KEMAS selain meningkatkan produktiviti agensi itu sebagai benteng kerajaan.

"Semoga KEMAS juga turut memberi sumbangan pada kita kerajaan seperti Pilihan Raya Negeri Sarawak. Begitu semangat, saya turun, dan saya jumpa ialah anggota KEMAS berbaju merah," ujarnya.

Perdana Menteri dalam pada itu, berkata keupayaan KEMAS perlu diberi perhatian bagi memastikan peranannya lebih relevan dalam masyarakat.

"Kita mesti ada roh perjuangan menyedari bahawa di atas tangan dan bahu mereka ada masa depan anak bangsa. Guru KEMAS adalah pembimbing anak bangsa yang berilmu dan berakhlak mulia," kata Najib.

Pada masa sama, beliau mahu kalangan anggota pendidik KEMAS meletakkan diri mereka sebagai pejuang bangsa.

"Saya juga mahu daya komitmen ditingkatkan. Saya nak lihat daya profesionalisme ditingkat, iaitu ada kelulusan tinggi, kemahiran sebagai pendidik lebih baik lagi, keberkesanan mengajar, mendidik bagaimana kanak- kanak menilai kita," kata Perdana Menteri.

Tegasnya, mereka perlu menganggap diri mereka sebagai mentor dan ibu bapa gantian sewaktu kanak-kanak di bawah jagaan KEMAS.