KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,474 cerun dari tahap sederhana hingga sangat bahaya dikenal pasti di Kelantan, Terengganu, Johor, Pahang dan Negeri Sembilan, yang mungkin terjejas akibat Monsun Timur Laut.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan, kementeriannya bersama Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil inisiatif dengan memasang sistem amaran awal di kesemua lokasi itu.

Menurutnya, pemasangan sistem amaran yang menggunakan telemetrik akan memberi amaran awal mengenai indeks jaringan hujan.

"Sebanyak 1,474 bilangan cerun yang mempunyai tahap bahaya sederhana sehingga sangat tinggi telah dikenal pasti melalui Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC).

"Cerun-cerun yang berisiko ini terletak di Jalan Persekutuan kritikal di lima buah negeri tersebut seperti Jalan Persekutuan FT1, FT3, FT4, FT8, FT86, FT185," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ketika menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) mengenai persediaan kementerian dalam mengenal pasti jalan dan cerun yang berpotensi runtuh bagi menghadapi musim tengkujuh dalam masa terdekat terutama di negeri-negeri pantai timur.

Mengulas lanjut, Fadillah menambah, Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) JKR telah memasang Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh (EWS) di lokasi-lokasi berisiko melalui penggunaan sistem telemetri yang akan memberi amaran awal apabila ‘rainfall index’ pada tolok hujan yang telah dipasang melebihi tahap amaran.

“Terdapat 48 stesen tolok hujan di seluruh Malaysia di mana 36 stesen terletak di Semenanjung Malaysia. Tolok hujan ini dipasang di Jalan Persekutuan yang berpotensi berlaku cerun runtuh seperti di FT59, FT185, FT4, FT55, FT102 dan beberapa laluan kritikal lagi,” ujarnya,

Beliau dalam masa yang sama turut menegaskan bahawa KKR sentiasa memastikan kesiapsiagaan yang tinggi dalam menghadapi bencana Monsun Timur Laut setiap tahun.

“Semua Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan daerah telah diarahkan melaksanakan langkah berjaga-jaga dan membuat persiapan yang rapi dari aspek tenaga kerja, jentera dan logistik." tambahnya.