Seramai 10,000 orang dijangka menghadiri majlis pelancaran 'Visit Beautiful Terengganu 2017' yang akan disempurnakan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata pelbagai aktiviti turut disediakan dari Sabtu hingga Isnin sempena pelancaran itu.

"Antaranya ialah promosi produk pelancongan di lapan daerah yang mempunyai keunikan tersendiri seperti Pahlawan Trail, Terengganu Peranakan Trail, Ulama Trail dan Penyu Menangis Trail.

"Pengunjung juga berpeluang melihat permainan tradisional Terengganu seperti terompah gergasi, kaki hantu, sepak raga ratus serta demonstrasi canting batik, ukiran kayu, tenunan songket dan anyaman," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan majlis pelancaran itu di Pulau Warisan di sini, hari ini.

'Visit Beautiful Terengganu 2017' diadakan selepas kejayaan penganjuran Tahun Melawat Terengganu pada 1997, 2008 dan 2013.

Wan Abdul Hakim berkata tujuh pengusaha nasi lemak di negeri itu akan menyediakan hidangan berkenaan dan minuman percuma untuk 1,000 pengunjung terawal sepanjang tiga hari majlis itu.

"Pengagihan nasi lemak percuma bermula seawal 9.30 pagi... ia diharap memberi sedikit keselesaan kepada pengunjung yang datang awal pagi ke majlis itu.

"Kerajaan negeri berharap rakyat Terengganu dapat beramai-ramai memeriahkan majlis pelancaran ini dan mengalami sendiri keunikan Terengganu," katanya.

-- BERNAMA