MALAYSIA
10 daerah di Kedah dilanda ribut malam tadi

Kejadian turut menyebabkan pokok tumbang yang menghempap rumah penduduk dan menghalang lalu lintas di beberapa laluan utama. - APM
ALOR SETAR: Sebanyak 10 daerah di Kedah dilanda ribut dalam kejadian kira-kira 8.30 malam tadi hingga menyebabkan kerosakan kediaman penduduk.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata daerah terjejas ialah Sik, Padang Terap, Pendang, Kota Setar, Yan, Kubang Pasu, Langkawi, Baling, Kuala Muda dan Pokok Sena.
Beliau berkata kejadian turut menyebabkan pokok tumbang yang menghempap rumah penduduk dan menghalang lalu lintas di beberapa laluan utama termasuk di Lebuh Raya Utara Selatan.
"Anggota APM telah menjalankan pemantauan di lokasi terjejas, melaksanakan kerja pembersihan di kawasan jalan raya, mengalihkan pokok tumbang di rumah penduduk serta membuat penilaian awal kerosakan bersama-sama agensi berkaitan," katanya dalam kenyataan hari ini.Muhammad Suhaimi berkata bancian terhadap rumah terjejas masih dijalankan dan APM menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika cuaca tidak menentu buat masa ini bagi mengelak kejadian tidak diingini.
"Sentiasalah mengikuti amaran angin kencang dan cuaca dari semasa ke semasa di laman web mahupun portal agensi berkaitan supaya dapat bersedia awal berdepan sebarang kemungkinan," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami