10 lelaki ditahan, 2 lagi dikesan bantu siasatan kes tembak di Kuala Selangor

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar menunjukkan gambar dua lelaki yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes tembak di Kuala Selangor pada 7 Oktober lalu pada sidang media di Menara 2, Bukit Aman hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 10 lelaki dan sedang mengesan dua lagi lelaki untuk membantu siasatan kes tembak di Kuala Selangor pada 7 Okt lepas yang menyebabkan seorang lelaki cedera di bahagian perut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata pada 7 Okt, pihaknya menerima laporan polis melibatkan seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan pemandu lori ditembak pada jarak dekat di bahagian perut.
Katanya, bertindak melalui maklumat yang diperoleh, pihaknya dengan kerjasama Polis Kontinjen Selangor telah menjalankan beberapa tangkapan di sekitar Selangor dan berjaya menahan 10 lelaki tempatan berumur 21 hingga 40 tahun disyaki terlibat dalam kumpulan jenayah terancang.
"Maklumat tangkapan membawa polis ke sebuah rumah di Kuala Selangor pada 10 Okt dan berjaya menemukan sepucuk pistol automatik jenis Beretta yang digunakan dalam kes tembakan berkenaan," katanya.Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat berebut kawasan pengedaran dadah.
Kumar berkata semua suspek didapati mempunyai pelbagai rekod jenayah kekerasan dan dadah serta pihaknya sedang mengesan dua lagi individu untuk membantu siasatan.
"Seorang daripada suspek yang sedang dikesan merupakan individu dalam senarai dikehendaki kerana terlibat dalam kegiatan jenayah terancang," katanya.
Kumar berkata semua yang ditahan direman hingga 20 Okt ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.
Beliau juga memberikan amaran bahawa PDRM akan terus membanteras kegiatan jenayah terancang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami