KUALA LUMPUR: Sepuluh negeri telah menawarkan tanah secara percuma atau mengenakan premium nominal kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Timbalan Menteri berkenaan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata daripada jumlah itu, lima projek melibatkan Johor, Melaka, Selangor, Sabah dan Pahang sudah melalui proses penilaian makmal dan kejuruteraan.

Beliau berkata dua lagi negeri iaitu Pulau Pinang dan Perak dalam fasa menunggu tarikh penilaian manakala Negeri Sembilan, Terengganu dan Perlis dalam fasa prakelayakan.

"Tiga lagi negeri - Kelantan, Kedah dan Sarawak, kita belum muktamadkan apa-apa lagi kerana mereka belum mengemukakan dengan jelas (lokasi) tanah yang dicadangkan.

"Ini kerana untuk pandangan dan keputusan dari segi kesesuaian lokasi, pemilihan lokaliti, daerah dan zon ialah daripada pihak negeri sendiri," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Akmal Nasrullah berkata pembinaan PPR itu mengikut spesifikasi standard iaitu 750 kaki persegi dengan dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air.

Sementara itu, beliau berkata KPKT melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) dalam proses pengambilan 67 pegawai sepenuh masa dan 209 anggota dijangka melapor diri pada Mei tahun depan.

"JBPM juga dalam perancangan pengambilan bomba bantuan sebanyak 364 orang untuk lima siri pengambilan di seluruh negara," katanya, menambah ia bagi mengatasi masalah kekurangan anggota bomba di seluruh negara.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM5,647,038,600 yang diperuntuk kepada KPKT dalam Belanjawan 2024 dengan lebih suara menyokong selepas dibahas 15 Ahli Parlimen.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA