ADAKAH akan ada bonus kakitangan awam? Adakah BR1M akan diteruskan? Bagaimana pula dengan pembaharuan dalam sistem pendidikan? Bagaimana untuk tarik lebih ramai pelabur berkualiti masuk ke dalam negara?

Ini semua persoalan yang wujud dalam hari-hari menjelang Belanjawan 2019, yang pertama untuk Malaysia Baharu. Anda tentu kerap dengar berkenaan cabaran fiskal negara, namun dalam masa yang sama kerajaan juga ada umum polisi dan pelan untuk bawa negara ke hadapan dalam pelbagai bidang, termasuk teknologi tinggi, pelaburan lebih berkualiti, pertumbuhan yang lebih bermakna dan pelbagai lagi.

Ini adalah 10 sebab kenapa anda perlu tontoni Belanjawan 2019:

1. Ini adalah belanjawan pertama Kerajaan Pakatan Harapan

Bagaimanakah manifesto Pakatan Harapan yang menjadi asas kepada Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 akan diterjemahkan kepada pelan setahun dalam Belanjawan 2019 ini? Bagaimana ini akan menjadikan pertumbuhan Malaysia lebih bermakna? Ini tentunya akan menjadi antara teras kepada pelan setahun ekonomi Malaysia.

2. Ketahui pelan kerajaan untuk tangani isu kos sara hidup

Tentunya yang dinantikan nanti adalah pengumuman berkenaan bantuan tunai kepada kumpulan berpendapatan rendah. Namun menarik untuk kita lihat bagaimanakah kerajaan akan menguruskan subsidi yang lebih terfokus untuk memastikan kumpulan yang berhak menerima bantuan tersebut. Ini tentunya akan membantu kumpulan yang benar-benar perlukan, dalam masa yang sama, membantu kerajaan uruskan kedudukan kewangan negara.

3. Cara kerajaan untuk kurangkan jurang antara kaya dengan miskin

Ini tentunya perlukan pelan jangka panjang, namun, ia harus bermula di dalam Belanjawan 2019 ini. Jadi apa pelannya untuk pastikan jurang antara Kumpulan B40 dan kumpulan T20 akan dikurangkan.

4. Polisi yang lebih membantu negeri yang sedikit ketinggalan

Menurut laporan Khazanah Research Institute dan kepada Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 wujud perbezaan kedudukan ekonomi antara negeri-negeri di Malaysia. Ada negeri yang jauh ke hadapan dari segi pendapatan individu dan infrastruktur, ada juga yang masih ketinggalan. Jadi apakah cara kerajaan akan kurangkan jurang ekonomi negeri ini?

5. Pelan pendidikan untuk sampai ke 2020

Ini adalah belanjawan pertama daripada 2 dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 menuju ke 2020. Jadi apakah pelan pendidikan yang diperlukan untuk mencapai sasaran negara maju 2020? Ramai yang mengkritik tentang sistem pendidikan negara sedia ada dan bagaimana ia sukar untuk lahirkan modal insan yang baik untuk pasaran pekerjaan. Jadi apakah asas yang akan dibina dalam belanjawan ini?

6. Wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak muda

Rata-rata, negeri-negeri yang jauh daripada Kuala Lumpur yang kami tinjau menyatakan sukar untuk anak muda mencari peluang pekerjaan. Apakah isu utama dan bagaimanakah kerajaan akan wujudkan ekosistem terbaik untuk bantu wujudkan peluang pekerjaan di negeri ini? Takkan lah selamanya anak muda ingin tinggalkan kampong halaman semata mencari kerja? Bagaimanakah anak muda ini dapat wujudkan peluang pekerjaan sendiri di negeri masing-masing?

7. Bagaimana untuk perbaiki penyampaian dan pengurusan awam

Banyak kritikan dilemparkan kepada perkhidmatan awam. Namun ada juga organisasi yang melakukan banyak pembaharuan dan penambahbaikan. Apakah yang diperlukan untuk membantu penyampaian dan pelaksanaan pelan dan polisi kerajaan? Bagaimanakah untuk meningkatkan ketelusan, integriti dan perbaiki penyampaian? Adakah ini akan dijelaskan dalam Belanjawan 2019?

8. Tingkat penyertaan wanita dalam ekonomi

Malaysia menyaksikan ramai tenaga kerja wanita yang meninggalkan pekerjaan mereka pada usia 30-an untuk memulakan keluarga. Di negara maju seperti Korea dan Jepun wanita ini kemudian akan masuk kembali ke pasaran pekerjaan sekitar 40-45 tahun. Namun ini tidak berlaku di Malaysia. Apa yang kerajaan boleh lakukan untuk tingkatkan kemasukan wanita dalam pasaran pekerjaan dan meningkatkan kepelbagaian dalam ekonomi?

9. Ekonomi Hijau

Banyak yang telah diumumkan sebelum ini untuk merancakkan aktiviti ekonomi hijau. Daripada insentif kepada bangunan dan kenderaan kepada pembangunan tenaga hijau. Namun ini bukan lagi sekadar satu frasa popular sahaja. Bagaimana polisi ini dapat dilaksanakan di peringkat industri dan dalam kehidupan seharian?

10. Pertumbuhan sejahtera

Angka-angka KDNK, inflasi, PPI, dan pelbagai lagi digunakan untuk menggambarkan pertumbuhan baik di atas kertas. Namun di luar sana, bagaimana angka ini diterjemah kepada kualiti hidup yang lebih baik? Adakah wang di dalam poket anda akan mampu untuk memberi lebih nilai kepada anda dan keluarga anda? Bagaimana kita sebagai warga Malaysia dapat hidup lebih bahagia dengan Belanjawan 2019 ini?

Adakah ini semua akan terjawab dalam Belanjawan 2019?

Hari ini Astro AWANI akan menyiarkan diskusi Belanjawan 2019 dan Pembentangan Belanjawan 2019 bersama hos, Rizal Zulkapli dan Luqman Hariz.