NATIONAL
10 suspek belasah pelajar Tingkatan Lima direman empat hari

Polis meminta orang ramai tidak menyebarkan gambar atau video kejadian di media sosial untuk tidak menjejaskan siasatan.
SEREMBAN: Seramai 10 individu berusia antara 17 hingga 31 tahun direman selama empat hari bermula Ahad bagi membantu siasatan berhubung insiden memukul seorang pelajar Tingkatan Lima di Paroi, awal pagi Jumaat lalu.
Ringkasan AI
- Sepuluh individu direman selama empat hari untuk membantu siasatan insiden memukul pelajar Tingkatan Lima di Paroi.
- Polis meminta orang ramai tidak menyebarkan gambar atau video kejadian di media sosial untuk tidak menjejaskan siasatan.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, dan pihak pendidikan memantau kes tersebut.
“Kita minta saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, Ahad.
Beliau turut mengingatkan orang awam supaya tidak menyebarkan gambar atau video kejadian di media sosial kerana boleh menjejaskan siasatan serta proses pendakwaan.
Terdahulu, tular rakaman video dan gambar memaparkan mangsa dalam keadaan berdarah di muka selepas dipercayai dipukul oleh sekumpulan lelaki.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 3 pagi Jumaat dan dipercayai berpunca daripada salah faham apabila salah seorang suspek menyangka mangsa telah mencederakan adiknya.
Laporan polis dibuat oleh bapa mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar berkata pihaknya memantau kes berkenaan dan akan memastikan tindakan sewajarnya diambil mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI).
“Kesejahteraan dan kebajikan pelajar menjadi keutamaan kami,” katanya.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada pelajar sekolah turut terlibat sebagai pelaku dalam kes tersebut, beliau memaklumkan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) masih belum menerima sebarang maklumat mengenainya. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami